Ambil tindakan jika benar wujud surat sokong Anwar -Irwan Rizal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menandatangani surat sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap serius oleh akar umbi parti itu.

Susulan tindakan itu, beberapa pemimpin UMNO menggesa satu jawatankuasa khas ditubuhkan parti itu bagi menyiasat dakwaan dikemukakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu termasuk kesahihan surat sokongan parti tersebut kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan Annuar yang menyatakan parti itu bakal bekerjasama dengan Anwar dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

“Jawatankuasa Khas perlu dibentuk dan ditubuhkan segera. Siasatan terperinci perlu dilakukan dan saya menggesa Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut bagi menyiasat perkara ini.

“Jawatankuasa tersebut perlu bekerjasama dengan pihak PDRM bagi memastikan kesahihan perkara tersebut.

“Hal ini kerana ia melibatkan isu integriti seorang Presiden yang telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang perlu diperjelaskan dengan fakta yang sebenarnya,” katanya kepada SuaraTV, hari ini.

Irwan menegaskan, sekiranya benar situasi itu yang berlaku tindakan tegas harus diambil dan ia juga melibatkan institusi Istana Negara kerana Yang di-Pertuan Agong telah diberikan informasi yang palsu.

“Jika benar juga ianya telah dibuat tanpa sebarang perbincangan yang mengikut perlembagaan serta dasar parti.

“Langkah ini adalah bagi memastikan segala persoalan yang timbul dapat dijawab dengan fakta yang telus.

“Siasatan tersebut penting kerana ia melibatkan integriti institusi diraja. Malah hasil siasatan surat berkenaan akan membersihkan nama baik Annuar sekiranya terbukti sahih serta akan membersihkan nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak jika terbukti palsu,” jelas beliau.

Namun katanya, pemilihan ahli Jawatankuasa tersebut harus telus dan tidak boleh dipilih oleh individu yang terlibat bagi memastikan ketelusan terjamin.

Beliau memberitahu keadaan semasa ini akan menimbulkan kekeliruan akar umbi UMNO.

“Apabila ramai yang mula keliru, maka pelbagai persepsi negatif mungkin akan timbul. Ianya akan menambahkan lagi kekeruhan sedia ada.

“Fokus utama masa ini adalah memastikan akar umbi berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi PRU 15 dan memastikan nasib rakyat terus dibela demi kebaikan semua,” ujarnya.

Ditanya sama ada kemungkinan masa depan UMNO bersama membentuk kerajaan dengan Presiden PKR.

Irwan berkata, tiada yang mustahil dalam arena politik.

“Namun keseluruhan pejuang UMNO harus menentang sebarang gerakan untuk bersama Anwar atau pun DAP.

“Tidak boleh sama sekali dibenarkan kerjasama ini berlaku,”tegasnya.

Perkembangan lain berhubung kecenderungan UMNO mutakhir ini yang dilihat anti- Bersatu beliau menjelaskan situasi sebenar.

“Secara asasnya ahli Bersatu berasal daripada UMNO. Sudah tentu ramai yang tidak berpuas hati apabila mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO.

“Namun keputusan parti pada Mac yang lalu untuk bekerjasama dengan Bersatu demi kepentingan rakyat keseluruhan perlu dihormati dan perasaan tersebut perlu dikorbankan demi kebaikan rakyat,” katanya.

Irwan menjelaskan, perkataan Bersatu curi ahli UMNO tidak timbul.

Hal ini katanya, keputusan untuk menjadi ahli Bersatu adalah hak dan keputusan individu-individu tersebut.

“Mereka ini lah yang menjadi salah satu punca akan perbalahan tersebut.

“Ada juga ahli parti politik lain yang menjadi ahli UMNO selepas kita jadi Kerajaan semula. Adakah UMNO juga mencuri ahli daripada parti politik yang lain?

“Kita harus berlapang dada dan tenang. Berbincang sebelum melakukan sebarang keputusan dan bukan sebaliknya,”katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat