Taman MRANTI bakal cipta 8,000 peluang kerja pacu negara berteknologi tinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Induk Taman MRANTI dan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global.

Beliau yakin dengan inisiatif ini akan melonjakkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.

Ismail Sabri menyeru kepada para pelabur untuk memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekosistem inovasi antaranya menerusi pembiayaan, akses pasaran, serta kepakaran teknikal.

“Amat penting untuk kita merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi, bukan sahaja menerusi bekalan bakat yang berterusan, tetapi juga berusaha mengurangkan brain drain dalam kalangan bakat-bakat hebat tempatan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan. Apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur yang bersepadu.

“Ini bermakna negara memerlukan sebuah taman teknologi yang menjadi titik pertemuan pemegang taruh antaranya inovator, penyelidik dan pelabur bagi mengukuhkan ekosistem STI, selain mampu menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi memacu ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran Taman MRANTI pada Khamis.

Perdana Menteri menyatakan bago
menyokong usaha-usaha pembangunan sektor inovasi, kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Jelasnya, melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), sebanyak 163 syarikat telah diluluskan dan menerima sokongan pembiayaan sebanyak RM67 juta, bantuan kawal selia, teknikal dan kepakaran.

“Kuala Lumpur adalah lokasi terbaik bagi inisiatif taman teknologi dan inovasi apabila disenaraikan sebagai salah sebuah daripada 10 hab inovasi terunggul di Asia Pasifik berdasarkan Tinjauan Industri Teknologi Global 2021 oleh KPMG.

“Taman MRANTI ini merupakan hab inovasi terunggul di Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban (atau Setempat).

“Kawasan seluas 686 ekar ini, telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon,” ujar beliau.

Malah kata Ismail Sabri tahun ini, beberapa buah lagi syarikat teknologi antarabangsa menunjukkan minat untuk bertapak di kawasan ini.

“Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran R&D ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

“Taman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi iaitu NCER, ECER, SDC, Iskandar Malaysia, SCORE dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.

“Pelan Induk baharu Taman MRANTI, akan memupuk keupayaan Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

“Taman MRANTI ini dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G; serta insentif dan peluang pembiayaan, juga direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi,” jelas beliau.

Menurut Ismail Sabri, Taman MRANTI dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, dan ini adalah berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia.

“Lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.

“Usaha ini akan dipacu MIMOS Berhad, yang berperanan penting membantu negara menjana nilai tambah yang tinggi daripada aktiviti pembangunan dan pengkomersialan teknologi, khususnya dalam sektor Elektrik & Elektronik (E&E).

“Sektor E&E merupakan penyumbang terbesar kepada eksport negara dengan nilai sebanyak RM455.7 bilion pada tahun 2021 dan berpotensi besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu tambah Perdana Menteri, melewati tempoh 50 tahun beroperasi, sektor E&E perlu diperkukuh dengan melahirkan lebih ramai bakat dan syarikat milikan tempatan; bukan hanya sekadar bergantung kepada pelaburan syarikat multinasional.

“Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global bagi melambangkan imej baharu yang lebih meluas, bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

“Saya berharap MIMOS Global akan terus bekerja keras untuk membantu Kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya manakala Kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan yang sewajarnya.

“Dalam mengharungi kepesatan kemajuan teknologi, ekosistem ekonomi digital negara memerlukan penglibatan erat sektor awam dan swasta. Kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara kerjasama sektor awam dan swasta dalam semua bidang, terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia.

“Saya berharap jalinan kerjasama teknologi MIMOS dan rantaian Zetrix oleh MYEG dalam membangunkan Infrastruktur Blockchain Malaysia akan dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dan mencambahkan idea yang lebih kreatif,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat