Umno sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak membersihkan Umno.

Budaya Umno bukan budaya parti sewaktu ia ditubuhkan malah ini bukan parti Umno lagi,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya, bekas Presiden Umno dan ahli Umno di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama Umno sekarang ini ditolak sepenuhnya.

“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa “Cash is King”, akuinya dalam kenyataan pada Selasa.

Mahathir yang kini Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) dan juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memberitahu selama 22 tahun beliau memimpin Umno sebagai Presidennya.

Namun sekarang beliau menentang Umno dan berusaha supaya kerajaan pimpinan Umno dikalahkan dan Umno tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia.

“Saya terpaksa keluar dari Umno kerana Umno bukan lagi Umno yang ditubuh pada 11 Mei 1946 bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.

“Umno sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi. Pucuk pimpinan Umno sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur Umno itu sendiri.

“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu,” katanya.

Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi mereka tidak guna Perlembagaan Umno untuk bersihkan parti.

Sebaliknya beliau berkata, mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya di dapati bersalah dan di penjara.

“Mereka (ahli Umno) nafi, tetapi rakyat tahu mereka mengongsi duit yang dicuri, duit haram. Ramailah pemimpin Umno yang memiliki sampai dua billion Ringgit. Wakil rakyat, Menteri pun biasanya tidak boleh ada duit sebanyak ini.

“Sebab itu kita membaca laporan berkenaan dengan berbillion duit 1MDB hilang, enam billion untuk buat enam buah kapal LCS hilang tanpa satu pun kapal dibina. Duit Kerajaan ratusan million diperuntukkan untuk beli meriam, beli helikopter tanpa mengikut prosedur.

“Perdana Menteri didedah memiliki lebih dua billion Ringgit dalam akaunnya di bank. Kononnya derma dari Raja Arab. Peguam Negara pilihan Najib tidak menyiasat sepenuhnya punca duit ini tetapi mengisytihar tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Sebaliknya apabila Najib dibicara, dia didapati bersalah, didenda dua ratus sepuluh million Ringgit, dipenjara 12 tahun,” ujarnya.

Malah kata Mahathir, pimpinan dan ahli Umno menuduh kononnya Najib dianiaya. Konon mahkamah tidak adil. Ini berkenaan seorang yang dibicara selama empat tahun; oleh tiga mahkamah dan sembilan hakim. Tidak ada kes seperti ini dalam sejarah negara. Semua hakim bersetuju Najib salah.

“Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

“Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Tan Sri Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditukar dan “dibeku”.

Polis diarah untuk tangkap siapa sahaja yang melapor atau mengkritik 1MDB dan juga Najib secara terbuka,” kata beliau.

Manakala di Parlimen, Pengerusi Public Accounts Committee diganti dengan seorang yang rapat dengan beliau, laporan Audit Negara diklasifikasi sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mengelak diketahui umum, persoalan berkenaan 1MDB tidak dibenar dibahas di Parlimen,katanya.

“Datuk Seri Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang ditahan di bawah SOSMA untuk halang mereka melapor berkenaan wang 1MDB ke luar negara.

“Dan banyak lagi yang dilaku oleh Najib untuk melepaskan dirinya dibantu pegawai-pegawai yang bertuhankan Najib.

“Dan semua perlakuan ini diterima, disokong dan dipertahan oleh Umno.

“Pendirian dan sikap Umno menunjukkan seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama,” dakwa beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat