Keputusan Selangor Tiba-Tiba Nyahwarta Hutan Simpan Jadi Tanda Tanya – Ei Kim Hock

- Advertisement -

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan komersial secara tiba-tiba terus menjadi tanda tanya.

Pengerusi MCA Bahagian Kuala Langat, Datuk Ei Kim Hock, berkata pihaknya amat terkejut dengan laporan berita berhubung isu berkenaan menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bulan lalu.

“Kami terkejut dengan keputusan secara tiba-tiba dalam sidang dewan pada bulan lalu, apabila kerajaan negeri bersetuju mengeluarkan 536.7 hektar dari HSKLU untuk tujuan komersial melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Ogos lalu.

“Ini bertentangan dengan ketetapan pada November tahun lalu yang mana DUN sebulat suara tanpa mengira parti menolak usul pembatalan status kekal HSKLU.

“Keputusan MMKN ini menimbulkan satu persoalan sama ada EXCO atau Dewan yang lebih berkuasa. Adakah wujud penyalahgunaan kuasa ketika keputusan itu dibua? Kami memohon kerjasama SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM Selangor, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau bersama kira-kira 20 wakil MCA Bahagian, antaranya Petaling Jaya, Kuala Langat, Tanjong Karang, Sungai Buloh, Sabak Bernam, Hulu Selangor serta Ampang hadir menyerahkan memorandum kepada SPRM Selangor, petang tadi.

Kim Hock turut mempersoalkan pendirian EXCO kerajaan negeri ketika keputusan itu dibuat.

“Adakah semua EXCO bersetuju dalam masa begitu singkat? Kenapa dilakukan dengan terburu-buru sedangkan lebih 45,000 individu menandatangani usul menyatakan bantahan mereka terhadap pewartaan untuk mengeluarkan sebahagian HSKLU,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menentang sebarang pembangunan namun ia harus dijalankan dengan seimbang tanpa menjejaskan kehidupan masyarakat terutama masyarakat Orang Asli.

“HSKLU adalah Environmental Sensitive Area tahap 1, bukan sahaja kawasan mata pencarian Orang Asli, keputusan itu bakal menjejaskan ekologi dan alam sekitar, tambahan pula ia menjadi tempat persinggahan burung tropikal.

“Jadi, kami hari ini membuat satu laporan di SPRM Selangor kerana ingin memohon SPRM menyiasat sama ada tindakan kerajaan negeri mengikut tatacara sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Petaling Jaya, Chew Hian Tat pula mempersoalkan ketelusan keputusan yang dibuat oleh MMKN Selangor.

“Kenapa tidak telus dalam isu ini, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan itu. Sebab itu kami datang buat laporan kepada SPRM.

“Tindakan MMKN Selangor membuat keputusan secara senyap menyahwartakan 536.7 hektar HSKLU mendatangkan syak wasangka bahawa terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Adakah keputusan ini dipersetujui oleh semua ADUN Pakatan Harapan (PH)? Kami berharap kerajaan negeri PH boleh memberi jawapan kepada persoalan ini,” katanya.

Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Lim Han Boon pula kesal kerana perkara itu diputuskan ketika rakyat berdepan kesukaran dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Keputusan ini dibuat ketika COVID-19, ketika kehidupan rakyat, terutama Orang Asli tidak menentu yang bergantung hidup pada hutan berkenaan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat