2,500 Guru Enggan Divaksin Wajar Dikenakan Tindakan Tatatertib – Pendidik

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Tindakan tatatertib sewajarnya diambil terhadap seramai kira-kira 2,500 guru di negara ini yang masih enggan divaksin tanpa mengemukakan sebab atau alasan munasabah.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, surat tunjuk sebab boleh diberi kepada guru berkenaan kerana sebagai penjawat awam, mereka seharusnya patuh dengan etika perkhidmatan awam.

“Pendidik menggesa Kementerian Pendidikan bertindak tegas terhadap warga pendidik yang sengaja membelakangkan arahan atau perintah etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan kerana guru perlu menjadi contoh kepada murid, ibu bapa dan masyarakat.

“Saya percaya jika sesi kaunseling diberi dan penerangan penuh hikmah serta langkah sewajarnya diambil oleh kementerian untuk mengikis ketidakyakinan segelintir guru yang enggan divaksin, sudah pasti sedikit masalah keengganan guru menerima vaksin dapat diatasi.

“Ini memerlukan kerjasama secara kolektif semua pihak yang berkaitan. Apa yang penting, isu ini perlu diselesaikan dengan penuh hikmah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada Jumaat lalu, kementerian memaklumkan guru yang enggan divaksin tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Tambah Normala, kementerian mempunyai alasan kukuh membuat larangan itu bagi memastikan keyakinan masyarakat tidak terhakis sekali gus menghilangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.

“Pendekatan tersebut dapat mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19 apatah lagi dalam kalangan pelajar terutama di sekolah rendah kerana tidak mempunyai imuniti yang kuat.

“Isu ini diharap dapat diselesaikan dengan baik kerana ketika ini ada masalah lain dalam bidang pendidikan perlu diutamakan dan diselesaikan,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat