RCI Batu Puteh syor siasatan jenayah terhadap Tun Mahathir
KUALA LUMPUR — Siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan pertikaian kedaulatan melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan perkara berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Prosiding itu susulan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
“Siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Tun Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 417 Kanun yang sama dan juga di bawah seksyen 418 Kanun yang sama.
“Oleh itu adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” menurut laporan itu.
Dalam laporan yang sama menyebut kehilangan hak kedaulatan Batu Puteh seperti yang diputuskan oleh ICJ pada 23 Mei 2008 hendaklah diambil sebagai pengajaran supaya kelemahan dalam isu melibatkan kedaulatan negara seperti yang berlaku dalam kes tersebut tidak berulang.
“Pengajaran juga harus diambil di mana sekeping surat pertanyaan oleh pihak luar serta jawapan yang diberikan secara bersurat boleh pada bila bila masa Doug akan sebagai bukti untuk pihak luar bagi menuntut hak dan kedaulatan ke atas wilayah negara.
Sebelum ini, laporan suruhanjaya itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 Jun lalu oleh Md Raus.
Pada Febuari lepas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta-merta.
RCI itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 2 Feb 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.