Gelaran Seniman Diraja satu penghargaan tertinggi kepada anak seni – Kartunis Lat

- Advertisement -

KUALA KANGSAR – Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat menyifatkan pengurniaan Watikah Gelaran Seniman Diraja sebagai satu penghargaan tinggi terhadap anak seni.

Anugerah itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Lat, 72, berkata, anugerah berkenaan menjadi inspirasi buat anak seni bukan sahaja kartunis untuk melahirkan karya demi negara.

“Semua cabang seni tidak kira sama ada muzik, filem, pelukis komik, penulis buku dan lakonan pentas bagaimanapun haruslah bekerja dan berbakti untuk negara. Saya juga berbangga dapat berbakti untuk Perak” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menyentuh Galeri Rumah Lat, anak jati Gopeng itu berkata, pameran hasil lukisannya mendapat sambutan baik daripada pengunjung sekali gus menjadi produk pelancongan negeri.

“Saya tidak menyangka rumah tradisional limas atau rumah berbumbung lima dalam komik ‘Kampung Boy’ menjadi realiti.

“Galeri ini masih percuma buat pengunjung dan saya ingat bayaran akan dikenakan agaknya awal tahun depan. Kalau ada bayaran mungkin tidak mahal,” katanya.

Tambah beliau, galeri itu akan menjadi tempat untuknya terus berkarya.

“Dalam setiap hari saya akan luangkan masa untuk melukis jika dahulu ambil masa sejam sekarang ini, tidak berapa sangatlah,” katanya.

Lat yang dilahirkan pada 5 Mac di Kota Bharu, Gopeng mula melibatkan diri dalam dunia lukisan kartun seawal usia lapan tahun selain menjadikan karya-karya komik Raja Hamzah sebagai sumber ilham.

Beliau memulakan siri kartun ‘Keluarga Si Mamat’ yang disiarkan dalam Berita Minggu pada tahun 1968 sebelum ia terus disiarkan pada akhbar sama, setiap minggu sehingga tahun 1994.

Lat mula dikenali sebagai kartunis editorial yang menggarap tema sosiopolitik pada tahun 1975 menerusi ruangan “Scenes of Malaysian Life” dalam akhbar The New Straits Times (NST).

Pada tahun yang sama, beliau dihantar ke London, United Kingdom untuk mendalami lukisan figura di Sekolah Seni St Martin.

Menjelang akhir tahun 1975, Lat dilantik sebagai kartunis sepenuh masa setelah lebih lima tahun bertugas sebagai wartawan jenayah akhbar NST.

Bermula pada tahun berkenan, karya-karya seni beliau mewarnai serta menjadi tarikan utama kepada akhbar berkenaan. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat