Lydiawati terkenang dituduh ‘lalok’ ambil trofi ABPBH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun filem Suami, Isteri dan…? diterbitkan pada 1996, namun naskhah yang menggandingkan pelakon berpengalaman, Datuk Rosyam Nor dan Lydiawati masih dikenang hingga hari ini.

Tidak dapat disangkalkan filem arahan Pansha itu berjaya melonjakkan nama Lydiawati sehingga berjaya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Bintang Popular BH pada 1996.

Mengimbas semula kemenangannya kira-kira 25 tahun lalu, Lydiawati, 57, berkata, antara kenangan tidak mampu dilupakan apabila namanya terpalit dakwaan liar hanya kerana mengambil trofi kemenangan pada malam kemuncak ABPBH 1996 dengan mengenakan kaca mata hitam dan sarung tangan.

Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Saimon berkata, dia baru sahaja menjalani pembedahan.

“Sehari sebelum malam kemuncak ABPBH 1996, saya dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri bagi menjalankan pembedahan jari yang patah. Selesai sahaja pembedahan, saya minta izin doktor untuk menghadiri anugerah berprestij ini.

“Disebabkan itu, saya memakai kaca mata hitam dan sarung tangan hingga membuatkan ramai menuduh saya tengah ‘lalok’ dan ketagih benda terlarang.

“Sedangkan saya memakai kaca mata hitam dan bersarung tangan disebabkan muka naik ruam kemerahan akibat ubat bius. Itulah, menang pun orang mengata, tak menang lagilah orang mengata,” katanya yang bersaing dengan pelakon popular, Erra Fazira dan Ziana Zain ketika itu.

Lydiawati berkata, jika diikutkan, dia mahu menolak untuk menghadirkan diri, namun akur selepas dipujuk stesen televisyen (TV).

“Dahulu, saya risau sekiranya kena ‘banned’ jika tidak hadir acara besar yang diundang. Jadi, saya gagahkan diri pergi juga bersama anak dan arwah kakak,” katanya kepada BH Online.

 

Gandingan Lydiawati dan Rosyam dalam Filem Suami, Isteri dan...? melonjakkan nama sehingga berjaya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Bintang Popular BH pada 1996.
Gandingan Lydiawati dan Rosyam dalam Filem Suami, Isteri dan…? melonjakkan nama sehingga berjaya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Bintang Popular BH pada 1996.

 

Justeru, aktres popular era 1980an yang diperkenalkan menerusi filem Kabus Tengah Hari pada 1982 itu tidak menafikan, momen berkenaan menjadi peristiwa yang sukar untuk dilupakan sepanjang bergelar anak seni.

Berkongsi kisah lakonan dalam filem Suami, Isteri dan …?, Lydiawati berkata, dia awalnya enggan menerima tawaran membintangi filem berkenaan, namun dipujuk Rosyam.

Katanya, Rosyam kerap menghubungi hingga tetap mencarinya ketika sedang bercuti ke Switzerland.

“Jujurnya, saya tidak yakin dengan filem ini. Rosyam minta saya ambil skrip, tetapi saya tak datang. Akhirnya, beliau terpaksa hantar skrip ke rumah saya.

“Rosyam menghubungi saya berulang kali bertanya sama ada membaca skrip atau belum. Hakikatnya, saya hanya sempat membaca sedikit. Selepas dirayu, akhirnya saya terima watak Salmah tanpa mengendahkan soal bayaran,” katanya sambil ketawa.

Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, dia keberatan membawa watak Salmah kerana menyangkakan bukan karakter yang kuat.

“Bagi saya, watak Salmah tidak terlalu memberi. Tetapi, Alhamdulillah, filem ini diterima baik disebabkan ia dibintangi pelbagai kaum termasuk Cina dan India.

“Malah, kisah yang diangkat juga begitu dekat realiti kehidupan masyarakat, sekali gus menjadikannya filem disukai ramai,” katanya.

Kehebatan ibu kepada dua cahaya mata itu bukan hanya kisah kontroversi yang melingkari hidupnya, malah lakonannya juga dipuji ramai.

Sepanjang kerjaya selama 39 tahun, Lydiawati pernah dijulang sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin pada 1995 dan Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (1997).

 

Lydiawati bersama dua cahaya matanya, Nur Munirah dan Puteri Batrisa Ezrima. - Foto IG Lydiawati
Lydiawati bersama dua cahaya matanya, Nur Munirah dan Puteri Batrisa Ezrima. – Foto IG Lydiawati

 

Lydiawati berkata, seseorang pelakon perlu rajin daripada pelbagai aspek termasuklah suka bertanya, belajar dan bertegur dengan pelakon senior di lokasi penggambaran untuk terus kekal dalam industri.

“Saya lihat, kebanyakan pelakon baharu lebih mementingkan duit dan rupa paras berbanding bakat. Jujurnya, ada sebahagiannya berlagak seperti bodoh sombong dan tiada disiplin. Jadi, amat sukar untuk bertahan.

“Sebagai pelakon baharu, kenalah rajin bertegur sapa dan memperkenalkan diri pada pelakon senior. Takkan pelakon lama pula perlu memperkenalkan diri?

“Saya bukannya jenis lokek ilmu. Jadi, jika mahu menuntut ilmu, datanglah menegur kami. Jika tiada pelakon lama, tiada pelakon baharu. Jadi, jangan sombong jika mahu terus bertahan dalam dunia lakonan.

“Di lokasi penggambaran, saya amat rapat dengan kru produksi. Ini kerana mereka adalah orang yang paling kuat bekerja di sebalik karya yang dihasilkan,” katanya.

Mengulas menjadi antara bintang wanita yang sering dihambat kontroversi pada zaman kegemilangan, Lydiawati berkata, dia bukan sengaja mahu mencipta kontroversi, sebaliknya hadir tanpa disengajakan.

Bagaimanapun, Lydiawati berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak terkesan dengan kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

“Saya tidak kisah apa yang orang luar kutuk saya. Apa yang penting, saya tahu apa yang dilakukan. Kerana saya tidak mendapat kudis apabila timbulnya gosip liar,” katanya.

 

Lydiawati bersama anak sulungnya, Nur Munirah yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Monash, Melbourne, Australia dan kini menetap di sana. - Foto IG Lydiawati
Lydiawati bersama anak sulungnya, Nur Munirah yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Monash, Melbourne, Australia dan kini menetap di sana. – Foto IG Lydiawati

 

Berkongsi perkembangan terbaharu, Lydiawati berkata, dia baru sahaja selesai penggambaran telefilem di Kelantan. Kemudiannya, bakal menjayakan sebuah drama terbitan TV Alhijrah.

“Alhamdulillah, tawaran masih tidak putus, meskipun saya banyak membawa watak ibu. Saya tetap bersyukur dengan limpahan rezeki sepanjang hampir empat dekad bergelar pelakon,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, namun kini, kembali fokus pada lakonan.

Anak pertama Lydiawati, Nur Munirah Sharmimi, 34, melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Monash, Melbourne, Australia dan terus menetap di sana. Anak keduanya, Puteri Batrisa Ezrima kini berusia 18 tahun.

Lydiawati kembali aktif berlakon selepas bercerai pada 2009. Penerbit dan pengarah, Fadzil Teh sering terserempak dengannya di surau mengambil masa agak lama memujuknya untuk kembali berlakon.

Pernah membintangi filem seperti Darah Satria, Suara Kekasih, Sepi Itu Indah, Putera, Sumpahan Kum Kum, 8 Jam, SAM: Saya Amat Mencintaimu dan terbaharu, Seandainya Kau Ada.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat