Tidak timbul soal kerajaan campuran, kata Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak timbul sama ada Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan campuran jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, gabungan itu kini sedang bersiap sedia jika Parlimen dibubar yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, jelasnya, ramalan sesetengah pihak berhubung kerajaan campuran selepas PRU-15 hanya kekal sebagai ramalan selagi pilihan raya tidak berlaku.

“Ramalan ini sukar dijadikan sebagai panduan. Pada PRU-14 lalu pun ada ramalan yang BN (Barisan Nasional) akan menang dua pertiga dan seringkali ramalan ini ibarat panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

“Jadi, kita semua sukar buat sebarang keputusan berdasarkan ramalan sahaja. Soal pembentukan kerajaan campuran tidak timbul lagi sehinggalah pilihan raya benar-benar berlaku,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Timbul ramalan bahawa kerajaan campuran atau pilihan raya semula dilihat sebagai senario yang berlaku jika keputusan PRU-15 tergantung apabila tiada parti yang mendapat undi majoriti mudah.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan pembentukan kerajaan memerlukan majoriti mudah, situasi itu masih tidak selamat sekiranya Perdana Menteri yang dilantik gagal mendapat sokongan Dewan Rakyat ketika meluluskan rang undang-undang dan usul undi percaya.

Justeru, pembentukan kerajaan campuran adalah langkah paling selamat demi kestabilan negara berbanding mengadakan semula pilihan raya yang mengambil masa dan menelan kos yang tinggi.

Ketika ini, terdapat empat pakatan politik utama terbesar daripada kerajaan dan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN), BN, PH dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Sementara itu, Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya masih berteka-teki berhubung perancangan bergabung dengan pakatan lain sekiranya 120 kerusi Parlimen disasarkannya tidak dapat dicapai.

“Belum ada keputusan, tetapi yang penting kami boleh menang pilihan raya. Kalau sudah menang, barulah boleh tubuhkan kerajaan.

“Namun, jika GTA tidak dapat (menang) semua kerusi ini, sekurang-kurangnya kami menjadi sebagai kumpulan politik yang terbesar. Kita lakukan yang terbaik bahawa orang Melayu berani melakukan perubahan,” katanya.

Sebelum ini, GTA dilaporkan berkata, parti itu terbuka untuk berbincang dengan PN mengenai kerjasama bagi menghadapi PRU-15, namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalin masih ‘tidak tahu lagi’.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat