Khairy Lawan Yang Kuat Tapi Anthony Tak Gentar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Anthony Loke mengakui berdepan saingan amat sengit sekiranya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencabar kerusi Parlimen Seremban.

Pun begitu, Setiausaha Agung DAP itu menyatakan kesediaannya malah tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik.

Anthony juga mengatakan adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan.

“Khairy merupakan tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu merupakan opponent (lawan) yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

“Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini amatlah sengit dan akan menjadi antara kerusi yang paling “panas” dalam PRU15.

“Namun begitu, sebagai pemimpin DAP saya tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun berhadapan dengan Khairy atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan.

“Biarlah rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat,” tegas beliau.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, Khairy dialu-alukan jika berminat bertanding di Parlimen Seremban pada PRU-15.

Katanya, langkah itu susulan Khairy yang juga Menteri Kesihatan dikatakan terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau.

Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dalam satu program di ibu negara dilaporkan mengesahkan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15.

Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi berkenaan oleh Mohamad yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

Zool Amali berkata, hasrat supaya Khairy bertanding di Seremban sudah dinyatakannya sebelum ini termasuk di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat