Imigresen Tumpaskan Sindiket Palsu Kad UNHCR Didalangi Warga Myanmar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Dua sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Myanmar yang mensasarkan warga Myanmar etnik Rohingya dan Arakan Muslim, ditumpaskan dalam operasi Jabatan Imigresen di kawasan Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lepas itu berjaya dihidu pihak berkuasa selepas insiden pendaratan etnik Rohingya di pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac 2019.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai mengeluarkan kira-kira 14,000 dokumen palsu setahun; antaranya kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kad pertubuhan Rohingya di Malaysia dan i-Kad Imigresen dengan bayaran antara RM30 dan RM150 bergantung kepada jenis dokumen.

“Risikan mendapati sekitar 30 hingga 50 orang pelanggan berurusan dengan sindiket ini setiap hari,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya dalam operasi semalam, 15 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan, manakala seorang lelaki warganegara Malaysia yang menyewakan premisnya kepada warga asing terlibat, dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan turut menemui surat rayuan, surat perlindungan dan surat bantuan perubatan kepada pihak UNHCR untuk warga Myanmar, di mana dokumen-dokumen palsu itu bertujuan mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa sehingga mereka mendapat surat janji temu daripada pihak UNHCR untuk mendapatkan dokumen UNHCR yang sah,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata sindiket itu turut dikesan menyediakan perkhidmatan memalsukan dan meminda maklumat ‘bio-page’ pasport antarabangsa pelbagai negara, membuat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan lain-lain pas lawatan palsu.

Beliau berkata dokumen palsu yang ditempah akan disiapkan dan diserahkan pada hari yang sama bagi pelanggan di Lembah Klang, manakala dokumen palsu untuk pelanggan lain dihantar melalui kurier setelah bayaran dibuat.

“Sindiket menerima tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia dan pelanggan hanya perlu menghantar butiran peribadi serta gambar melalui aplikasi WhatsApp, Viber, imo dan e-mail,” katanya, serta menegaskan Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi mengesan pemilik kad UNHCR palsu yang dikeluarkan sindiket berkenaan.

Antara yang dirampas dalam operasi berkenaan ialah pelbagai dokumen palsu antaranya 35 kad UNHCR, 13 i-Kad Imigresen, enam surat UNHCR, lima kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta tiga komputer, tiga komputer riba, enam mesin pencetak, empat mesin lamina dan lima pemacu pena.

“Templat surat pengesahan pemeriksaan COVID-19 klinik swasta dan templat lain turut ditemui di dalam pemacu pena (pendrive) dan komputer riba yang dirampas,” katanya.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan kes itu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat