Bob Tutupoly meninggal dunia

- Advertisement -

JAKARTA: Penyanyi legenda Indonesia, Bob Tutupoly, 82, meninggal dunia di Rumah Sakit Mayapada, di sini, jam 12.03 tengah malam tadi.

Menerusi laporan CNN Indonesia, berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Widuri itu disahkan oleh anaknya, Erick.

“Ya benar,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sementara itu, isterinya, Rosmayuti Nasution turut berkongsi perkhabaran duka itu

“Damailah suami, papa, opa, oom kami tercinta,” ujarnya.

Sehingga kini, punca penyanyi bersuara lunak itu meninggal dunia belum diketahui, namun, kesihatannya dilaporkan merosot dan berulang-alik ke hospital akibat beberapa komplikasi penyakit termasuk strok, sejak kebelakangan ini.

Turut berkongsi pemergian penyanyi kelahiran Surabaya itu adalah pemuzik, Stanley Tulung mengesahkan, Bob meninggal dunia pada jam 12.03 tengah malam (waktu Indonesia).

“Terima kasih Bob untuk segala-gala yang diberikan untuk kita. Semoga lapang jalanmu menuju keabadian sejati,” katanya.

Menerusi laporan Kompas.com, Stanley memberitahu, Bob dimasukkan ke Rumah Sakit Mayapada akibat penyakit strok, beberapa minggu lalu.

“Bob menerima rawatan di hospital, sejak beberapa minggu lalu.

“Sebelum meninggal dunia, Bob hendak menjalani pemindahan darah kerana bacaan menurun. Namun, semalam, jam 11 malam (waktu Indonesia) Bob sudah tidak memberikan maklum balas.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.03 tengah malam,” kata Stanley.

 

Gambar terakhir Bob Tutupoly bersama isterinya, Rosmayuti Nasution pada Mei lalu. – Foto AGENSI

 

Bob dilahirkan pada 13 November 1939 dan mula menceburkan diri dalam bidang seni pada 1965 bersama Patie Bersaudara.

Pemilik nama asal Bobby Willem Tutupoly itu kemudiannya dikenali dengan deretan lagu hits seperti Lidah Tak Bertulang, Tiada Maaf Bagimu dan Tinggi Gunung Seribu Janji.

Pada 1969, Bob ke Amerika Syarikat dan membuka sebuah restoran, Pertamina di New York.

Selepas pulang ke Indonesia pada 1977, populariti mula melonjak apabila membawakan lagu Widuri ciptaan Slamet Adriyadi yang sehingga kini menjadi karya masih malar.

Sepanjang berjuang, Bob pernah dianugerahkan Anugerah Legenda pada Anugerah Musik Indonesia pada 2015.

“Muzik membesarkan saya. Dalam kerjaya, kita harus berdedikasi, ertinya menghargai penonton, tetapi apa yang penting, tetap disiplin.

“Saat ini, kebanyakan pemuzik apabila terkenal mulai banyak perangai. Pesan saya kepada pemuzik muda, anda harus mempunyai ciri khas, harus ada nilai tambahan, khususnya yang bergaya Indonesia sehingga orang boleh mengenali,” kata Bob dalam kenyataan, suatu ketika dahulu.

Selepas menerima anugerah, Bob jarang muncul di khalayak ramai berikutan masalah kesihatan.

Namun, Bob menyambut ulang tahun ke-80 menerusi Konsert 80th Celebration Bob Tutupoly pada 2019.

Sepanjang kerjaya, Bob memiliki beberapa album serta pernah terbabit dalam dunia lakonan menerusi filem Gli Innamorati Della Becak (Kisah Cinta si Tukang Becak) pada 1958, Penasaran (1977) dan Sebelah Mata (2008). – AGENSI

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat