Ahli Perniagaan Tubuh Parti Baru BPN, Hasrat Tanding PRU15

- Advertisement -

KUANTAN – Sekumpulan ahli perniagaan bekerjasama menubuhkan parti politik baharu, Barisan Penyatuan Nasional (BPN) dan hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusinya, Ibrahim Yahya berkata, memandangkan majoriti ahli BPN mempunyai latar belakang perniagaan, mereka yakin dapat bersama-sama berusaha ke arah meningkatkan taraf ekonomi negara dan rakyat.

Menurutnya, BPN telah bekerjasama secara aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu rakyat sejak sekian lama dan telah sepakat menceburi bidang politik serta bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Politik akan menjadi platform yang lebih baik untuk BPN…dari sini suara kita akan didengari, kita mahu memberi perhatian lebih kepada isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat, khususnya.

“BPN telah mengenal pasti lima bidang tumpuan utama yang akan menjadi sebahagian manifesto membantu rakyat terutamanya dalam kumpulan B40 dan M40.

“Kami sedang berusaha untuk menyediakan unit rumah mampu milik, perubatan perkhidmatan, pendidikan, bantuan orang kurang upaya (OKU) dan menunaikan haji (untuk umat Islam),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BPN akan dilancarkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 12 Ogos depan dan berhasrat meletakkan calon hanya di kerusi Parlimen sahaja.

Ibrahim yang menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Jempol berkata, BPN tidak bercadang membuka keahlian kepada pemimpin politik lain kerana mahu dilihat bersih dan bebas daripada sebarang bentuk jenayah ataupun rasuah.

Beliau berkata, walaupun Pendaftar Pertubuhan (RoS) belum meluluskan pendaftaran BPN, namun semuanya sudah berada di peringkat akhir.

“Kami berharap kelulusan akan diselesaikan tidak lama lagi tetapi tanpa mengira keputusan dan jika kami tidak dapat bertanding pada PRU15, kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan berpegang pada ikrar kami… Kita mahu memastikan rakyat tidak terbeban dengan ekonomi yang mencabar.

“BPN telah menubuhkan pasukan pemikir bagi membantu menyelesaikan isu-isu tertentu yang dihadapi rakyat dengan merangka strategi untuk mengatasinya.

“Kami mempunyai beberapa pakar, profesor dan jurutera yang telah menasihati kami dalam isu-isu ekonomi tertentu dan kami sedang melaksanakan mereka dengan wakil kita di negeri-negeri,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim turut memberitahu bahawa, BPN akan membuka pasar raya di 222 kawasan Parlimen yang akan membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan asas runcit pada harga berpatutan.

“Melalui rangkaian pasar raya sedia ada di negara ini, ia akan dijenamakan semula.

“Justeru, rakyat mampu membeli keperluan asas termasuk minyak masak dan daging pada harga berpatutan,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat