Kerajaan Peruntuk RM500,000 Bantuan Awal Kepada Mangsa Banjir Di Baling – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bantuan awal berjumlah RM500,000 kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Menurut Perdana Menteri, bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, bantuan barang keperluan asas sebanyak RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan bantuan baik pulih rumah.

“Saya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan TYT Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turkiye, telah menerima berita duka mengenai banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak di Baling, Kedah pada petang semalam.

“Bencana ini telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Justeru, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Perdana Menteri berkata, Setiausaha Politik beliau iaitu Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR hari ini termasuk waris tiga mangsa yang maut sebanyak RM10,000 seorang.

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan semua agensi kerajaan terlibat agar mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi itu mempunyai tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Ujarnya lagi kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah itu mengalami kerosakan dan sebanyak 25 kediaman musnah sepenuhnya.

“Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

“Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat