Jangan Cemar Nama SPRM, Pesan Khairuddin Pada Azam Baki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menjadikan dirinya sebagai contoh mangsa penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan ketika proses siasatan dilakukan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tampil membuat teguran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Khairuddin yang juga merupakan salah seorang pengasas Bersatu melalui kenyataan hari ini berkata, sebagai badan penguatkuasa undang-undnag, SPRM mesti menjalankan fungsinya secara profesional dan adil terhadap semua pihak.

Sebagai pengemudi agensi itu pula, Azam Baki mestilah mengendalikan SPRM ke tahap yang lebih maju dan baik, tambah Khairuddin.

Beliau merujuk kepada siasatan yang dilakukan SPRM terhadap Pemuda Bersatu.

“Dato seri Azam Baki harus pandu SPRM ke hadapan secara gemilang bukannya mundur ke belakang seperti amalan kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu.

“Sekarang asas pentadbiran pihak penguatkuasa undang-undang serta jabatan-jabatan kerajaan sudah boleh berfungsi secara professional tanpa campurtangan ghaib orang-orang politik.

“Tolong jangan izinkan ‘tangan-tangan ghaib’ orang politik daripada mempengaruhi penguatkuasa undang-undang bertindak di luar prinsip ketelusan untuk melaksanakan setiap tanggungjawab serta amanah rakyat,” katanya.

Khairuddin yang juga merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini turut mengingatkan bahawa salah laku yang dibuat oleh manusia tidak akan terlepas daripada balasan Tuhan, meskipun boleh disorok dari pengetahuan manusia.

Khairuddin sebelum ini beberapa kali pernah ditahan pihak berkuasa selepas tindakannya membuat laporan polis bagi menjalankan siasatan berkenaan salah laku yang melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Sebelum penahanan dibuat, Khairuddin juga dilarang berlepas keluar negara, selain turut disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu.

Pada bulan September 2015, Khairuddin ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen

Merujuk kepada kes yang disiasat oleh SPRM hari inj terhadap Pemuda Bersatu, Khairuddin turut menggesa Azam Baki agar memberi penjelasan kepada umum untuk menjelaskan berkenaan siasatan itu.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti menjaminkan segala proses siasatan oleh para pegawainya wajib mengikut prosedur tanpa unsur intimidasi terhadap mana-mana pihak yang sedang disiasat,” tegasnya.

Sejak dua hari lepas (3 Jun 2020), beberapa orang dari kalangan pemimpin Armada Bersatu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berhubung kehilangan wang bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pegawai Media kepada Tun Dr Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin hari ini menunjukkan kepada media laporan polis yang dibuatnya dengan mendakwa dia dan ahli parti lain disoal siasat secara berasingan selama beberapa jam oleh SPRM pagi ini.

Sementara itu, Siti Nurul Hidayah, pembantu peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga mendakwa beliau telah diperlakukan secara tidak adil ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM.

Menurut laporan polisnya, Siti mengatakan beliau telah dipanggil untuk disoal siasat sebanyak tiga kali sejak April lalu.

Siti turut mendakwa telefon bimbitnya dirampas dan dilemparkan kepadanya.

Beliau juga mendakwa pegawai penyiasat SPRM menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, dan beberapa lagi jenis ‘kekasaran’ yang dilakukan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat