Dari pasar malam, kini miliki restoran

- Advertisement -

MANJUNG: Siapa sangka, bermula dengan hanya berniaga ‘kuey teow kerang’ di pasar malam, kini Oming Gapol, 37, mampu memiliki ‘food truck’ dan restoran yang menjana pendapatan lumayan setiap bulan.

Menurut Oming, pelbagai cabaran yang ditempuhinya bersama suami, Idzrul Akmar Rosli, 38, sejak mula berniaga kira-kira 14 tahun lalu.

“Mulanya, kami membantu ibu mentua berniaga di pasar malam sebelum suami mencadangkan untuk kami memulakan perniagaan sendiri.

“Ketika itu, kami menjelajah dari satu pasar malam ke satu pasar malam lain. Dengan berbekalkan modal kecil kami berjaya kembangkan sehingga akhirnya mampu membeli ‘food truck’ dan mula berniaga di Dataran Lumut.

“Jualan melalui food truck amat menggalakkan kerana kuey teow kerang air tangan suami sangat digemari. Orang ramai jika lihat suami, pasti akan minta dia sendiri yang masak,” katanya ketika ditemui di Restoran Cheffboss di Taman Samudera di sini baru-baru ini.

Oming berkata, meskipun jualan melalui food truck mendapat sambutan baik, dia dan suami mempunyai impian lain yang lebih besar iaitu memiliki restoran sendiri.

Katanya, berkat kesungguhan mereka dalam berniaga, hasrat tersebut berjaya dicapai apabila restoran dibuka secara rasmi pada Januari lalu.

“Kalau diikutkan, jualan food truck pun sudah bagus kerana dalam sehari kami boleh masak 40 kilogram (kg) kuey teow dan 10 papan telur. Pendapatan ketika itu pun cukup lumayan.

“Namun, sebagai peniaga, kami selalu fikir apa lagi yang boleh dilakukan bagi mengembangkan potensi kami. Ketika itu suami sering bercakap mengenai hala tuju perniagaan ini.

“Memang impian suami dari dulu untuk ada restoran sendiri. Dia selalu bercakap mengenai hasratnya itu, cuma ketika itu kami perlu fokus kepada food truck dan pada masa sama kumpul modal.

“Siapa sangka, akhirnya cita-cita suami itu tercapai. Lebih manis lagi restoran ini dibuka tanpa pinjaman dari mana-mana institusi perbankan,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, sebagai ‘sahabat’ Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dia mendapatkan modal perniagaan melalui pinjaman dengan agensi itu.

“Sejak berniaga di pasar malam lagi, memang pinjaman daripada AIM yang banyak membantu. Ibu mentua yang mula-mula memperkenalkan saya dengan AIM.

“Pinjaman pertama saya berjumlah RM3,000 dan dengan duit itulah saya gunakan sebagai modal untuk membeli dapur dan bahan mentah.

“Melalui AIM, saya tidak pernah putus modal kerana setiap pinjaman yang dibuat walaupun dalam jumlah yang besar pasti dapat asalkan bayaran balik pinjaman dilunaskan dengan baik,” katanya yang turut memiliki perniagaan ‘bundle’.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat