Bajet 2022 Defisit 6.5 Peratus, Kerajaan Mampu Bayar – Tok Pa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan memberi keyakinan defisit sebanyak 6.5 peratus yang dibentang dalam Bajet 2022 mampu dibayar malah berjanji akan berusaha mengurangkan jumlah defisit setiap tahun demi mencapai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jelas beliau, berhutang dalam konteks COVID-19 kerajaan perlu amalkan dasar mengembang.

Kata Mustapa, hal ini kerana kerajaan komited melindungi nyawa rakyat dan memastikan rakyat ada makanan serta meneruskan pembangunan.

“Kita susah, kita nak kurangkan lagi perbelanjaan… ini akan menyebabkan kesengsaraan rakyat itu, tak boleh kita lakukan.

“Dalam jangka masa sederhana kita perlu membuat konsolidasi kewangan RMK-12 pada 2025, kerajaan akan cuba kurangkan defisit. Kita kena urus hutang ini dengan baik.

“Kerajaan tak ada masalah, kita ada kemampuan untuk bayar hutang tapi tak boleh benarkan perbelanjaan untuk bayar balik bunga hutang itu angkanya tak boleh melebihi peratusan tertentu. Kita pinjam kita mampu untuk bayar balik tapi untuk jangka masa sederhana kerajaan akan perlahan-lahan kurangkan defisit,” ujar Mustapa dalam sesi bual bicara di Agenda Awani bertajuk Bajet 2022:Tangani Jurang Kemiskinan, pada malam Rabu.

Tegas beliau Bajet 2022 adalah peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM332.1 bilion dengan matlamat meletakkan asas yang kukuh selain mempertahankan ekonomi sedia ada.

“RM75 bilion diperuntukkan untuk pembangunan ini tanggungjawab saya. Belanja mengurus sebahagian besarnya untuk gaji, pencen dan untuk bayar hutang, jadi kita cuma ada lebihan kecil… hasil tolak belanja mengurus itu cuma RM500 juta sahaja hasil, ini dipanggil lebihan akaun semasa.

“Jadi maknanya sebahagian besar ataupun hampir kesemua belanja pembangunan itu adalah daripada pinjaman
jadi ini penting untuk pastikan matlamat kita untuk melindungi nyawa dalam konteks kesihatan, mewujudkan peluang pekerjaan maka kita perlu belanja, itu sebabnya defisit.

“Tahun ini 6.5 peratus defisit maknanya kita tak cukup wang dah untuk membiayai belanja mengurus, belanja pembangunan jadi hasil tak cukup maka ada defisit hampir RM100 bilion semua ini dibiayai oleh pinjaman,” jelas beliau.

Mustapa memberitahu lagi, bagi 2022 kerajaan meneruskan projek-projek sambungan yang sudah pun dimulakan sama ada jalan, luar bandar, bekalan elektrik luar bandar.

“Projek-projek itu dah mula tapi tak siap lagi maka peruntukannya projek sambungan. Namun, projek baru tak banyak sangat memandangkan peruntukan kewangan kita mencabar.

“Projek sambungan ini melibatkan lebuhraya Pan Borneo, projek lebuh raya utama tengah (CSR) dari Kota Bharu ke Bentong dan projek RTS Johor Bahru- Singapura. Semua projek-projek ini akan diteruskan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mustapa memberi keyakinan bahawa kerajaan berupaya mencapai RMK12 pada 2025 memandangkan semua sasaran adalah realistik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat