TMJ tak terlibat langsung, dapatkan keadilan sewajarnya untuk pemandu Grab dan pengiring – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bertanggungjawab untuk menyiasat secara rapi sekali gus memberi keadilan kepada dua pihak iaitu pengadu dan juga orang yang dituduh dalam insiden pemandu kenderaan e-hailing yang didakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara.

Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penasihat Belia Johor, Khairy Jamalauddin Abu Bakar berkata, beliau faham kemarahan wujud apabila timbul cerita secara optiknya iaiatu konvoi diraja seolah-olah menganiaya pemandu Grab yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Pun begitu kata Khairy, masyarakat ingin mengetahui fakta kes, maka biar polis buat siasatan.

“Saya faham ada kemarahan sebab ini ialah cerita konvoi diraja seolah-olah menganiaya seorang pemandu Grab, OKU …itu optiknya.

“Jadi dalam kes ini di mana ia melibatkan isu yang sensitif bukan hanya isu kerabat diraja tetapi isu rakyat iaitu seorang rakyat OKU, pemandu Grab juga ada garis kaum juga yakni pemandu Grab (berbangsa) Cina, Malay ruler (Raja-raja Melayu).

“Perkara yang terbaik adalah kita untuk memberi ruang untuk polis buat siasatan. Mulanya polis kata tiada tindakan lanjut dan lepas isu ini meletup nasib baik Ketua Polis Negara telah tampil dan kata beliau mahu siasatan diteruskan untuk mengetahui apa yang telah berlaku dalam kes ini.

“Kita nak dapatkan keadilan untuk dua pihak iaitu pengadu, orang yang dituduh,” kata Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Selasa.

Khairy turut memaklumkan bahawa terkait insiden ini beliau ada berhubung dan berbincang secara tertutup dengan Pemangku Sultan Johor,Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Menurut TMJ beliau tak tahu perkara ini berlaku sebab berlaku di belakang ataupun bila beliau dah masuk, dia cuma tahu keesokan harinya.

“Untuk keadilan kepada beliau juga supaya dijelaskan bahawa TMJ tak terlibat langsung dalam hal ini, itu yang pertama. Maka keadilan untuk semua pihak terutama untuk Ong Ing Keong sebab dia adalah orang yang menjadi mangsa dalam hal ini.

“Isu kedua – ini berkenaan pengiring keselamatan, tekanan tinggi, mereka tidak tahu risiko itu datang dari mana. Kadang-kadang konvoi bergerak, mereka kena keluar awal, kalau ada apa-apa halangan di hadapan mereka, mereka dilatih dan menjadi tanggungjawab mereka untuk ‘clear’ halangan tersebut termasuklah kereta yang parkir di situ,” ujar Khairy.

Bekas Menteri Kesihatan itu juga memaklumkan, secara dasarnya konvoi panjang dan apabila ada sesuatu berlaku di kepala konvoi atau ekor konvoi, orang kenamaan sudah masuk dan lazimnya tidak tahu apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan pemandu Grab berkenaan wajar mendapatkan keadilan sewajarnya dan orang ramai perlu mengetahui fakta kes ini.

“Dan perkara ini saya sampaikan kepada Pemangku Sultan dan baginda juga telah keluarkan kenyataan.

“Kenyataan yang perlu kita baca dan juga perlu kita hadam sebab Pemangku Sultan kata beliau pun tak tahu bahawa insiden ini telah berlaku.

“Jadi kita anggap bahawa kenyataan itu sebagai kenyataan yang sahih daripada Pemangku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor bukan setakat itu sahaja malah Pemangku Sultan Johor maklumkan kepada saya dan juga telah menzahirkan dalam kenyataan beliau bahawa beliau mahu siasatan dijalankan.

“Maknanya beliau sudi dan beliau mahu supaya siasatan ini dibuat dengan rapi supaya keadilan itu diberi kepada mana-mana pihak termasuklah pihak yang berkenaan iaitu Ong Ing Keong dan beliau kata saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat