KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di Johor Bahru.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata siasatan itu penting supaya tiada lagi insiden sedemikian berlaku di mana-mana pelabuhan di negara ini.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.
“Kita tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan secara langsung dengan Israel.
“Isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor itu (isu kontena Israel) amat dekat kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, saya tidak fikir kita boleh berkompromi dalam hal ini.
“Saya harap Kementerian Pengangkutan dapat melakukan pemantauan terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan kita,” katanya lapor BH di Johor pada Selasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Ahad lalu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara terbabit.
Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.
Sabtu lalu, media melaporkan kewujudan kontena dari Israel itu menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk sekitar.
ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.