Kulinari bukan bidang remeh

- Advertisement -

Mungkin ramai masih tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan seni kulinari dan kepentingannya terhadap perkembangan industri hospitaliti serta pelancongan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Bidang ini terus mendapat permintaan tinggi berikutan secara purata seramai 24.6 juta pelancong datang ke Malaysia setiap tahun.

Apatah lagi, Malaysia dilabel sebagai ‘syurga’ makanan oleh pelancong dari serata dunia berikutan mereka boleh merasai pelbagai makanan lazat di negara ini.

Pengurus Giat MARA Setiawangsa Syahizad Zuriatie Mohamad Zuki berkata, seni kulinari membabitkan bidang masakan, penyediaan makanan, pastri atau kek dan banyak lagi yang berkaitan dengan aktiviti masakan.

Sehubungan itu katanya, kerjaya dalam bidang kulinari kini tidak lagi dipandang remeh, sebaliknya diiktiraf sebagai kerjaya profesional kerana memerlukan kreativiti dan komitmen tinggi.

Katanya, pekerjaan sebagai seorang cef sebenarnya membuka pelbagai peluang dalam industri restoran, perhotelan, kapal pesiaran dan juga resort.

“Selain itu, cef juga berpeluang meningkatkan kemahiran memasak, memiliki perniagaan berasaskan makanan ataupun produk masakan dan tenaga pengajar.

“Menerusi kemahiran dan kebolehan yang ada membuatkan kerjaya sebagai seorang cef sangat dikagumi ramai,” katanya ketika ditemui di pejabat­nya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun berkerja dalam kumpulan, katanya, untuk menjadi seorang cef memerlukan komitmen yang tinggi berikutan bekerja di bawah tekanan kerana harus menguruskan hidangan tepat pada masanya.

“Oleh itu, mereka harus bijak dan kreatif menghasilkan sajian mengikut piawaian atau penanda aras yang dikehendaki, bersabar dengan tugasan remeh seperti memotong sayur-sayuran dan memahami rantai pemakanan dengan baik.

“Bidang ini juga sangat memerlukan pekerja yang terlatih untuk memenuhi peluang pekerjaan disediakan. Lulusan bidang ini layak bekerja di industri perkhidmatan yang berkaitan,” katanya.

Katanya, di Giat MARA Setiawangsa, pihaknya menawarkan kursus masakan dan pramusaji di bawah kluster kulinari selama enam bulan.

“Kurikulum yang komprehensif diselaras bagi memastikan pelajar mahir dalam pelbagai aspek teknikal meliputi tatacara penyediaan, pengurusan dan penyelenggaraan makanan.

“Pelajar juga dilengkapi ilmu mengenai operasi dapur, pembangunan menu, penyediaan dan teknik persembahan makanan serta pengurusan makanan dan minuman,” katanya.

Kursus itu bakal melahirkan golongan profesional dalam bidang masakan seperti cef, pengusaha katering dan usahawan dalam bidang seni kulinari.

“Konsep pembelajaran secara amali yang mana pelajar berpeluang mengambil bahagian dan menyediakan sajian secara individu.

“Setiap pelajar didedahkan dengan teknik untuk meningkatkan kemahiran memasak secara profesional bagi menghasilkan graduan berkualiti, berdisiplin serta mampu bersaing di pasaran kerja,” katanya.

Katanya, selain latihan merangkumi penyediaan makanan, membuat pelbagai jenis makanan tempatan dan barat, bakeri dan kek, serta aktiviti dapur lain, aspek keusahawanan turut diterapkan kepada pelatih untuk membimbing mereka bergelar usahawan, sekali gus menjana pendapatan sebaik tamat latihan.

“Mengambil contoh program Rintis Niaga, terdapat bantuan serta peruntukan yang disediakan untuk lepasan GiatMara memperluaskan perniagaan mereka.

“Program itu juga sesuai dengan matlamat MARA untuk melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan Bumiputera,” katanya.

Sumber:- Metro 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat