KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan mengadakan mesyuarat keduanya bagi tahun 2024 pada Rabu dan Khamis ini, antara lain bagi menetapkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Pada mesyuarat pertamanya yang telah berlangsung pada Januari lalu, jawatankuasa berkenaan mengekalkan OPR pada paras tiga peratus.
Konsensus menjangkakan tiada perubahan dalam OPR pada mesyuarat kali ini, dengan penunjuk utama kestabilan monetari seperti inflasi kekal stabil pada 1.5 peratus Januari lalu, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun keempat 2023 mencatatkan pertumbuhan tiga peratus
Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut bersetuju dengan pandangan berkenaan, sambil menyifatkan ekonomi negara masih mencatatkan pertumbuhan positif.
Jelasnya, ia termasuk angka eksport dan import yang positif dengan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus dan 18.8 peratus pada Januari lalu, manakala kadar pengangguran terus stabil pada paras 3.3 peratus setakat bulan Disember.
“Pertimbangan utama yang dijangka diberikan dalam mesyuarat berkenaan adalah prospek pertumbuhan ekonomi luaran terutamanya melibatkan negara-negara maju dan China, selain prospek kadar inflasi bagi tahun ini yang dijangka bergerak sekitar 2.1 sehingga 3.6 peratus.
“Pihak kami berpendapat BNM kini berada dalam mod tunggu dan lihat terutamanya berhubung perkembangan ekonomi luaran serta perlaksanaan dasar kerajaan terutamanya konsolidasi fiskal,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Kosmo