KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berang dengan akaun “troll” yang didakwa memfitnah kononnya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menuntut pempengaruh Khairul Aming melakukan audit laporan kewangan banjir.
Menurut bekas Presiden MUDA itu, beliau mahupun parti MUDA itu sendiri tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan negatif terhadap idola anak muda iaitu Khairul Aming seperti hantaran akaun troll berkenaan.
Syed Saddiq malah mengakui beliau secara peribadi juga mengagumi Khairul Aming dan tentunya tidak pernah terlintas untuk membuat hantaran sedemikian.
Dalam hantaran X akaun HarakakdailyHD itu mencatatkan “MUDA bagi amaran kepada Khairul Aming untuk audit laporan kewangan banjir walaupun guna duit sendiri, perlu audit,” ujarnya”.
Justeru Syed Saddiq memuat naik video berdurasi 1.17 minit sebagai reaksi balas terhadap hantaran akaun X berkenaan.
“Fitnah and lies (pembohongan), tak pernah sekali pun kami (MUDA) keluarkan kenyataan negatif kepada idola anak muda, Khairul Aming.
“Lebih 500,000 dah lihat fitnah ni dan ratusan komen siap maki-maki lagi. Ini akaun fake, akaun troll milik penyokong Pakatan Harapan (PH).
“Wahai fake account penyokong PH, tak perlu nak alih perhatian rakyat dengan fitnah dan troll kamu.
“Saya mohon jasa kawan-kawan untuk like, komen dan share video ini untuk lawan fitnah mereka dan yang kenal Khairul Aming boleh kongsikan sekali kepada dia. I admire him why would i ever do that to him? Lawan dengan kebenaran bukan dengan kemungkaran,” tegas Syed Saddiq.
Semalam media melaporkan, pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan, semalam.
Pengasas Sambal Nyet itu memulakan operasi mengagihkan bantuan dan santuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bermula petang kelmarin.
Selain mengagihkan bantuan keperluan asas, pempengaruh berkenaan turut menyediakan makanan.
Menerusi TikToknya, Khairul Aming dan pasukannya mengagihkan sebanyak 1,200 pek nasi dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pasir Mas, Kelantan dan sebanyak 12 kenderaan pacuan empat roda digunakan bagi membawa barangan bantuan berkenaan.
Pada masa sama, pempengaruh berkenaan turut membuka kutipan untuk sesiapa yang mahu menyumbangkan barangan bantuan kepada banjir.
Namun, beliau tidak menerima wang tunai kerana tidak membuka tabung derma memandangkan perlu permit selain bimbang terlepas pandang amanah duit orang nanti.
Mengulas lanjut Syed Saddiq juga meminta kerajaan PH-BN untuk menjawab tiga soalan daripada rakyat iaitu alasan batalkan dan lewatkan RM7 bilion projek tebatan banjir kini rakyat sengsara; banjir tahun ini antara terburuk tapi pelajar di kawasan banjir tetap kena duduki SPM walaupun teruk terkesan.
“Seterusnya, kalau akaun media sosial yang fitnah macam ini dah lama heret ke mahkamah, dipenjarakan tapi ini penyokong kamu tiada tindakan,” bidasnya.