Kerajaan Iktiraf Peranan OKU Dalam Agenda Keluarga Malaysia – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia kerajaan hari ini, demikian penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita semua perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang.

“Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, yakni menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga.

“Lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan untuk memastikan OKU terlibat di dalam agenda pembangunan negara,” katanya, ketika berucap di majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan, sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata, peranan dan sumbangan golongan OKU memang tidak boleh dinafikan dan ia terbukti apabila golongan itu turut menyumbang bakti ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Mengimbas kembali semasa awal pandemik COVID-19 melanda, seorang Wirawati OKU bernama Saudari Norfarrah Syahirah dari Bagan Datuk yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan, secara sukarela menyumbang tenaga dengan menjahit sejumlah Pakaian Perlindungan Diri (PPE) untuk kegunaan Petugas Barisan Hadapan (Frontliners).

“Syabas saya ucapkan kepada Saudari Norfarrah di atas usaha murni beliau,” katanya.

Menurut beliau lagi, hasil sokongan kerajaan dan pihak swasta, semakin ramai golongan OKU dapat berdikari dan bekerja sendiri.

“Ada yang menjadi pemandu, pendidik serta usahawan yang berjaya. Bahkan, wakil OKU turut berada di dalam Dewan Negara dan terlibat dalam proses meluluskan Rang Undang-undang negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut Perdana Menteri menjelaskan kerajaan juga akan sentiasa membantu dan menyokong OKU dalam mendepani cabaran semasa.

“Dalam tempoh hampir dua (2) tahun ini seluruh rakyat terbeban dengan ancaman pandemik COVID-19. Golongan OKU merupakan antara kelompok yang sangat terkesan akibat daripada wabak ini.

“Kerajaan akan sentiasa membantu dan menyokong agar OKU terus kental, berdaya tahan dan bersifat lentur bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengadakan beberapa sesi libat urus, dengan pihak berkepentingan berkaitan golongan OKU sebelum Bajet 2022 diluluskan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta lain-lain agensi yang terlibat dengan inisiatif Bajet 2022 untuk OKU, hendaklah membuat perancangan yang teliti, mengambil kira pandangan OKU dan merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak.

“Hal ini bagi memastikan setiap ringgit yang disalurkan untuk keperluan OKU dibelanjakan dengan optimum, isu-isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benarbenar sampai kepada penerima manfaat yang direncanakan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat