PETRONAS akan bayar dividen RM34 bilion kepada kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan membayar dividen sebanyak RM34 bilion kepada kerajaan Persekutuan pada tahun ini, meskipun mencatatkan kerugian pada suku kedua tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1974, PETRONAS telah membayar RM488 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen.

“Pada 2019, jumlah dividen yang dibayar oleh PETRONAS adalah sebanyak RM54 bilion, termasuk dividen khas sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam,

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada Petronas akan tetap memberi dividen kepada kerajaan pada tahun ini setelah mencatatkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu.

Pang turut ingin tahu mengenai impak kerugian itu dan implikasi kepada ekonomi negara secara amnya serta pelan ekonomi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) secara khususnya.

Mustapa berkata, RMK-12 yang pada awalnya dijadual dibentangkan pada 6 Ogos lalu, di Dewan Rakyat ditangguhkan kepada awal tahun depan bagi membolehkan kerajaan mengambil kira perubahan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Memandangkan COVID-19 memberi impak yang ketara kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia, maka analisis ekonomi yang diguna pakai ketika penyediaan dasar, strategi dan inisiatif RMK-12 perlu disemak semula terutamanya unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, penangguhan ini dibuat bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan diadakan, termasuk kementerian dan agensi, kerajaan negeri serta pakar ekonomi,” katanya.

Katanya, langkah ini untuk memastikan inisiatif yang dirangka di bawah RMK-12 sejajar dengan aspirasi dan dasar semasa yang menjadi tunjang kepada kerajaan selain memastikan perancangan RMK-12 dibuat berdasarkan anggaran kedudukan ekonomi dan fiskal yang lebih realistik.– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat