Pembubaran DUN Sabah Belum Sah?

- Advertisement -

Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu mungkin tidak sah dan terbatal.

Keadaan ini boleh berlaku sekiranya sidang Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin, tidak mengikut Perlembagaan Negeri apabila menukar Ketua Menteri dalam tempoh dua hari.

Pada 24 Ogos nanti Mahkamah Persekutuan dijangka bersidang bagi mendengar rayuan Musa Aman lawan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pengisytiharan beliau ialah ketua kerajaan negeri yang sah 2 tahun lalu.

Kes ini sebelumnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun seperti diketahui umum kedua-dua mahkamah ini tidak mempunyai kuasa meluas dalam mentafsir perundangan negara dan perlembagaan negeri.

Antara isu yang akan diberi perhatian oleh Mahkamah Persekutuan nanti ialah sama ada Tun Juhar telah menggunakan kuasa budi bicara pelantikan Ketua Menteri baharu, dalam masa dua hari selepas angkat sumpah Musa Aman, mengikut Perlembagaan Negeri secara berhemat atau semberono.

Dalam Krisis Menteri Besar Perak 2009, Sultan Perak hanya campur tangan apabila pada 4 Februari 2009 Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, mengadap baginda memaklumkan beliau hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri dan memohon perkenan membubarkan Dewan.

Almarhum Tuanku Sultan Azlan ketika itu memutuskan untuk tidak memperkenankan permintaan membubarkan DUN Perak, sebaliknya menitahkan Mohamad Nizar dan EXCO meletak jawatan.

Baginda juga mengada pertemuan dengan 3 orang ADUN yang meninggalkan kerajaan negeri sebelum membuat keputusan bahawa Barisan Nasional mempunyai majoriti dan melantik Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baharu.

Dalam konteks krisis jawatan Perdana Menteri Februari lalu, DYMM Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya membuat keputusan pelantikan Perdana Menteri baharu setelah Tun Dr Mahathir meletak jawatan.

Baginda juga hanya melantik Perdana Menteri baharu setelah berjumpa dengan semua Ahli Parlimen dan ketua-ketua parti yang mempunyai kerusi di Parlimen.

Justeru dalam konteks ini Mahkamah Persekutuan perlu meneliti dan menentukan adakah pelantikan Mohd Shafie pada 12 Mei 2018 lalu memenuhi kehendak Perlembagaan Negeri.

Misalnya adakah Tun Juhar berjumpa dengan semua wakil rakyat yang menyatakan hilang sokongan kepada Musa Aman secara peribadi atau hanya melalui Shafie sahaja.

Bolehkah Tun Juhar memutuskan penukaran Ketua Menteri yang baharu tanpa sebarang pemakluman dari Ketua Menteri sedia ada mengenai kedudukan beliau yang hilang majoriti?

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan lalu, Panel tiga hakim yang terdiri daripada Mohamad Zabidin Mohd Diah, Kamardin Hashim dan Rhodzariah Bujang membenarkan bantahan awal Douglas Lind, peguam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, bahawa kes itu bersifat akademik.

Menurut Kamardin dalam penghakiman setebal 51 halaman, “walaupun isu yang dibangkitkan dalam rayuan berhubung kesahan ketua menteri Sabah adalah penting, ia tidak mempunyai kepentingan awam yang luar biasa.”

“Walaupun jika rayuan itu berjaya, ia tidak akan menjadikan beliau (Musa) sebagai ketua menteri semula kerana beliau tidak memenuhi peruntukan di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah.”

Justeru antara kepercayaan Mahkamah Rayuan ketika itu ialah walaupun mereka memberi keputusan tindakan pelantikan Mohd Shafie tidak sah, ia hanya bersifat akademik kerana Mohd Shafie mempunyai sokongan majoriti ketika keputusan dibuat.

Namun persoalan ini perlu ditangani semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana Mohd Shafie telah hilang majoriti.

Andainya Mahkamah Persekutuan mendapati tindakan Tun Juhar dalam pelantikan Mohd Shafie tidak mematuhi kehendak Perlembagaan Negeri (yang hanya memberi kuasa kepada beliau untuk melantik Ketua Menteri apabila ada kekosongan), maka pembubaran DUN atas nasihat Mohd Shafie adalah tidak sah.

Tun Juhar tidak boleh membubarkan DUN Sabah atas nasihat dari seorang Ketua Menteri yang tidak sah.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat