Annuar akan saman pemfitnah tuduhan jual Menara KL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polemik dan fitnah yang mengaitkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkenaan tuduhan penjualan Menara Kuala Lumpur secara senyap bakal mengheret pemfitnah ke muka pengadilan.

Annuar menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk mengenal pasti individu-individu yang secara terbuka sebelum ini melemparkan tuduhan terhadapnya.

“Sejak tercetus polemik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh Telekom Malaysia Bhd (TM, telah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.

“Lebih buruk lagi terdapat beberapa hantaran di media sosial yang tanpa segan silu membuat fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk diri saya sendiri,” kata Annuar dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguamnya, beliau tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

“Ada juga yang membuat hantaran tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenal pasti mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada.

“Setiap perkara berbangkit, terutama yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib. Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” tegas beliau.

Pada 29 Disember lalu, Annuar menarik nafas lega apabila TM menjelaskan bahawa Menara KL (MKL) adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.

Menurut Annuar kenyataan yang dikeluarkan oleh TM itu telah memadam fitnah yang mengaitkan dirinya.

Terdahulu, TM menjelaskan bahawa Menara KL adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.

Dalam satu kenyataan, ia berkata TM melalui anak syarikat milik penuhnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Walau bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM mahu menumpukan usaha dan sumber bagi mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Oleh itu, selepas pertimbangan yang sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat