Taman hijau, KPKT salur RM13 juta untuk tapak pelupusan sisa pepejal Paya Kemunting

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

JITRA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) komited melaksanakan Projek Inisiatif Hijau Pemuliharan Alam Sekitar di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting.

Pelaksanaannya di tapak seluas 13 ekar ini, telah disiapkan pada 1 September 2023 dengan kos sebanyak RM13 juta, merupakan tapak ke-175 dan operasinya telah ditutup serta dihentikan serta pada 1 Januari 2019.

Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kewujudan tapak pelupusan tidak sanitari selaras dengan pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan tapak ini oleh Ketua Pengarah JPSPN, Ir.Ts. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) Badrulhisham Sulaiman di sini, pada Isnin.

Menurut Kor Ming, tapak ini menggunakan kaedah tutup selamat yang terbaik berdasarkan garis panduan Landfill Safe Closure and Rehabilitation of MSW Landfill Sites yang dilkeluarkan oleh KPKT berkonsepkan simetrikal dengan ketinggian 38 meter di puncak dengan kerja penanaman rumput bagi mengindahkannya.

Katanya, sebelum ini kes kebakaran sering berlaku di tapak ini pada 2017, 2020, 2021 dan operasi pemadamannya dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKP.

Malah operasi pemadamannya pernah mengambil masa selama lima hari dengan kekuatan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang, Jalan Raja, Pendang dan Bukit Kayu Hitam.

“Selain itu MPKP telah menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan tahap kualiti pengudaraan, menyebabkan masalah kesihatan dan kacau ganggu pencemaran bau kerana lokasinya berdekatan dengan kawasan kampung, sekolah, perumahan dan pusat pengajian tinggi.

“Kini, mereka boleh menarik nafas lega kerana masalah tersebut telah diselesaikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih mampan, KPKT akan memperkenalkan Waste Eco-Tourism seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju.

Ia akan memberikan pendedahan, pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai sistem pengurusan sisa pepejal yang lestari.

Justeru, pihaknya telah mengenalpasti 10 tapak pelupusan yang telah ditutup selamat yang sesuai untuk dibangunkan semula sebagai taman hijau dengan reka bentuk yang inovatif dan kreatif.

“Pembangunan semula tapak pelupusan sisa pepejal ini kepada taman hijau berpotensi memberikan manfaat serta membuka ruang dan peluang sosio-ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat