PKPB dilanjutkan atau sebaliknya, pakar berbeza pandangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam berbeza pandangan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang akan berakhir 6 Disember ini, wajar dilanjutkan atau sebaliknya.

Mengambil kira kes kematian yang bertambah dan pertambahan jangkitan baharu setiap hari melebihi 1,000 kes, pakar menganggap langkah terbaik bagi mengekang penularan wabak itu adalah dengan melanjutkan lagi tempoh PKPB terutama di Lembah Klang.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata tanpa PKPB, usaha kerajaan untuk mengekang wabak berkenaan dan memutuskan rantaian jangkitan sukar dilakukan jika dilihat kepada kes jangkitan yang dilaporkan setiap hari.

“Saya menyokong jika kerajaan melanjutkan PKPB terutama di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyaksikan peningkatan kes secara mendadak dan wujudnya kluster baharu.

“Jika dilihat kepada laporan harian kes COVID-19, peningkatan kes tidak menentu, ada hari naik dan ada hari berkurangan.

“Bagaimanapun langkah tepat adalah melanjutkan PKPB sehingga kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan sama seperti sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Hanafiah bagaimanapun berkata, penamatan PKPB di negeri seperti Kedah dan Pulau Pinang mungkin boleh dipertimbangkan kerana dua negeri berkenaan mencatatkan pengurangan kes berturut-turut.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah sejak 8 November lalu sehingga 6 Disember ini.

PKPB turut dilaksanakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu selama empat minggu.

Bagaimanapun, PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan 21 November lalu, lebih awal berbanding 6 Disember seperti diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Pakar Sistem Kesihatan Universiti Oxford, Dr Khor Swee Kheng, berpandangan PKPB tidak wajar dilanjutkan kerana pertambahan kes harian COVID-19 lebih tertumpu di kawasan khusus.

“Walaupun kes harian COVID-19 masih tinggi, kita boleh lihat bahawa kebanyakan kes dikesan dalam kawasan yang tersasar ataupun di dalam sebuah syarikat, kilang atau tapak pembinaan.

“Memandangkan kebanyakan kes adalah di dalam kawasan yang kecil dan spesifik, maka mungkin wajar untuk PKPB tidak dilanjutkan.

“Sebaliknya, langkah lain boleh dilaksanakan, seperti PKPB bersasar (TEMCO), penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mantap dan saksama serta strategi ujian penyaringan untuk Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 16 November lalu menunjukkan ‘non-pharmaceutical interventions’ (NPI) yang lebih longgar mempunyai kesan yang sama dengan NPI yang tegas.

“NPI adalah strategi kesihatan awam untuk wabak yang tidak menggunakan ubat atau vaksin. Contoh NPI adalah pelitup muka yang diwajibkan, penjarakan fizikal, PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat