Selamat Tinggal Port Dickson

- Advertisement -

Penduduk Port Dickson yang mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen mereka empat tahun lalu, berharap ia akan membawa kepada perubahan terhadap penempatan bandar tepi laut yang sebelum ini disifatkan hambar.

Secara umumnya, mereka masih menunggu sehingga kini. Walaupun pantainya lebih bersih dan bangunan terbiar berusia 25 tahun telah diubah suai menjadi sebuah hotel setahun lalu, namun masih ada lagi janji Anwar untuk menjadikan bandar itu sebagai destinasi pelancongan yang menarik, termasuk pembinaan taman tema, tidak menjadi kenyataan.

“Tiada banyak yang telah dilakukan. Kami masih berada di situasi sama sebelum Anwar hadir memimpin di tempat kami. Tumpuannya adalah pada negara, bukan Port Dickson dan itu amat mengecewakan.” Perunding Perniagaan Zeeneeshri Ramadass, 38, memberitahu The Straits Times.

Peniaga pakaian, Amelia Emil, 48, pula percaya Anwar boleh melakukan lebih banyak pembangunan di bandar itu, memandangkan Negeri Sembilan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH). Selain Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.

“Saya menantikan beberapa perubahan tetapi setakat ini, tiada apa-apa. Ia sama sahaja.” katanya.

Ketika zaman kegemilangannya pada tahun 1980-an, Port Dickson yang lebih dikenali sebagai PD adalah salah satu destinasi pantai utama negara. Namun reputasinya terjejas sejak akhir 1990-an, terutamanya apabila pantainya menjadi kotor dan tercemar.

Beberapa pengundi lain, antaranya Wong Hong Qi, Mekanik berusia 27 tahun pula menyifatkan terdapat penambahbaikan pada pantai berkenaan di bawah pengawasan Anwar.

“Pembersihan bermula pada jam 6 pagi setiap hari, sama ada cuaca hujan atau cerah.” katanya yang sering berjoging di pantai berkenaan.

Pejabat Anwar juga telah mendakwa melaksanakan pencapaian baik sebagai Ahli Parlimen dalam kad laporan yang dikeluarkan tahun lalu. Ia menerusi pengagihan sebanyak 12,763 bakul makanan kepada golongan memerlukan, 10,000 pek penjagaan Covid-19 kepada penduduk tempatan dan kerusi roda kepada 245 penerima. Selain itu, sekolah yang turut menerima RM300,000 untuk kerja menaik taraf, manakala RM100,000 diperuntukkan untuk masjid dan surau.

“Beliau berada di kawasan untuk bertemu pengundi hampir setiap hujung minggu, tidak kira betapa sibuknya jadualnya.” Itu pula kata Hashim Abdul Samat, 47, Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Port Dickson.

“Fokus beliau adalah kepada kesejahteraan pengundi dan beliau sering memberitahu kami untuk memastikan bantuan terus diberikan kepada golongan miskin dan memerlukan.”

Anwar juga telah menganjurkan program keusahawanan dan memaparkan perniagaan tempatan dan belia di laman sosial Facebooknya, sebagai sebahagian daripada ikrar untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi generasi muda.

“Beliau telah mempromosikan banyak perniagaan belia dalam talian, termasuk perniagaan biskut milik adik saya yang masih baharu, dan kami telah menerima banyak pertanyaan dan tempahan, yang sangat membantu semasa tempoh PKP akibat Covid-19,” kata usahawan Rafhan Rafiezi, 27.

Pun begitu, perkembangan kepada pembangunan di kawasan itu masih kekal di peringkat perancangan.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk membangunkan lembah aeroangkasa dan hab logistik untuk memanfaatkan lokasi yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia juga membayangkan PD sebagai hab maritim yang menampilkan naik taraf kepada pelabuhan dan termasuk port bagi kapal persiaran.

Ketika Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil pada 13 Oktober 2018, kebanyakan pengundi melahirkan harapan terhadapnya untuk memulihkan bandar itu.

Di bawah pakatan gabungan PH, yang mula memegang tampuk pemerintahan negara, lima bulan sebelum pilihan raya kecil Port Dickson, Anwar pernah dibayangkan untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bagi separuh penggal pemerintahan PH. Namun segalanya tidak mencapai sasaran selepas kerajaan PH tumbang pada awal 2020.

“Saya percaya dia mempunyai banyak rancangan untuk PD tetapi kejatuhan kerajaan PH dan pandemik Covid-19 telah menghalang rancangannya,” kata kontraktor Chee Leong Fei, 53, seorang penduduk bandar itu.

Penganalisis berpendapat program Anwar setakat ini nampaknya tidak menangani isu di peringkat dasar untuk kawasannya.

“Adalah lebih bermatlamat baginya untuk menangani dasar dan langkah untuk memulihkan industri pelancongan dan perdagangan tempatan, menggunakan PD sebagai contoh,” kata Shazwan Mustafa Kamal, Pengarah Bersekutu Vriens & Partners, sebuah konsultan hal ehwal kerajaan, dasar awam dan perundingan risiko politik.

Shazwan tueut percaya bahawa Anwar, selagi kekal sebagai tokoh terkemuka di pentas negara, tidak mungkin kehilangan kerusinya pada pilihan raya umum, PRU 15 akan datang.

“Persoalan mengenai ikrar pilihan raya yang terabai akan mengikuti Anwar dalam pilihan raya umum, tetapi yang menjadi tumpuan adalah kepimpinannya. Bagaimana beliau akan menyatukan pakatan pembangkang yang retak dan apakah rancangan seterusnya?
Siapakah yang membentuk barisan PH seterusnya selepas Anwar?.” tambahnya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat