Watak antagonis angkat nama Jasmine

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laluan pelakon berbangsa Cina, Jasmine Suraya Chin untuk menempatkan dirinya dalam pasaran seni Melayu bukan mudah.

Pelbagai cabaran terpaksa dilalui pelakon berusia 31 tahun itu, sebelum diterima dalam industri seni. Memulakan langkah sebagai pengacara menerusi program Projek 3R pada 2013, pembabitannya sebagai pelakon menyusul setahun kemudian menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan.

“Jujurnya, agak sukar untuk saya mengembangkan kerjaya dalam pasaran Melayu berikutan peluang tidak terbuka dengan meluas. Saya perlu menjalani uji bakat bagi mendapatkan sesetengah watak.

“Saya cukup berdebar penguasaan bahasa Melayu kurang baik dan sukar membuang pelat ketika mula mendapat tawaran berlakon. Jadi, tawaran yang diterima agak terhad.

“Selalunya, pengarah akan memanggil saya untuk menjalani uji bakat walaupun membabitkan watak urban atau mualaf. Jadi, nak dapatkan watak mencabar sangat sukar. Saya pernah tidak mempunyai sebarang tawaran lakonan disebabkan masalah bahasa.

“Oleh itu, saya terkejut dan langsung tidak percaya apabila nama dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33. Saya lihat ramai pelakon lebih hebat dan popular berbanding saya. Apapun saya tetap bersyukur dicalonkan,” kata wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Wanita yang cukup dikenali menerusi watak Suzie Tan menerusi drama rantaian, Adellea Sofea yang diterajui Mira Filzah dan Ungku Ismail Aziz itu berkata, hatinya berdebar dan gemuruh melihat senarai pelakon wanita yang menembusi kategori yang sama.

 

Pelakon berbangsa Cina, Jasmine Suraya Chin masih perlu menjalani uji bakat biarpun bakat lakonan sudah dibuktikan menerusi drama rantaian popular, Adellea Sofea. - Foto IG Jasmine Suraya Chin
Pelakon berbangsa Cina, Jasmine Suraya Chin masih perlu menjalani uji bakat biarpun bakat lakonan sudah dibuktikan menerusi drama rantaian popular, Adellea Sofea. – Foto IG Jasmine Suraya Chin

 

Katanya, calon seperti Siti Saleha, Nelydia Senrose dan Janna Nick yang tidak boleh disangkal kehebatan mereka.

“Jika ditanya mengenai harapan, saya tak meletakkan sebarang impian kerana bersaing dengan nama besar dan popular. Mereka membintangi drama yang kuat, selain mendapat sokongan ramai peminat. Bagaimanapun, saya perlu bersyukur kerana bukan mudah membolosi pencalonan ini, sekali gus berdiri sebaris dengan aktres popular.

“Saya tidak memiliki sebarang strategi. Apabila mengetahui nama dicalonkan, ada juga terfikir untuk melakukan sesuatu. Bagaimanapun, selepas meneliti senarai calon lain yang lebih berkelayakan untuk menang, akhirnya membuat keputusan menyerahkan pada takdir.

“Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kerana keluarga, rakan dan peminat bersusah payah mengundi untuk saya,” katanya kepada BH Online.

Biarpun berjaya menempatkan diri sebaris pelakon wanita hebat lain, Jasmine berkata, dia mengalami tekanan dalam memastikan namanya terus kekal relevan dalam industri seni, lebih lagi industri hiburan kini dilihat sebagai satu perniagaan.

“Pelakon zaman ini perlu mempunyai peningkatan dan perubahan, tambahan lagi penggunaan media sosial yang meluas. Peminat tentunya sentiasa mahu melihat sesuatu yang baru dan segar.

“Tanggapan peminat terhadap anak seni juga sudah berubah. Pelakon zaman ini bukan sahaja perlu pandai berlakon, melakukan banyak perkara untuk kekal relevan dan popular. Kita sudah kekurangan pelakon yang memiliki aura seperti zaman 1960-an hingga 1990-an.

“Dalam masa yang sama, perlu bersedia dengan kehadiran wajah baharu yang lebih muda dan cantik. Namun, saya percaya peminat akan tetap meminati dan menghormati pelakon lebih senior dan serius dengan kerjaya.

“Saya sendiri lebih mengutamakan kualiti lakonan berbanding kuantiti. Ini kerana ia menjadi kunci yang membolehkan seseorang artis untuk terus bertahan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Jasmine berkata, dia sukar mendapat peluang membawakan watak utama yang menguji kemampuannya sebagai pelakon walaupun kini semakin selesa.

Malah, katanya, dia masih perlu menjalani uji bakat, meskipun kemampuannya membawakan watak antagonis sudah berjaya dibuktikan menerusi drama Adellea Sofea.

Bagaimanapun, katanya, dia cuba mengelakkan membawa watak sama kerana bimbang dilihat tidak mempunyai kelainan.

“Saya utamakan kualiti. Saya tidak mahu berlakon sebab ingin kumpul duit membayar bil dan sara hidup. Bagi saya, biarlah duit datang daripada rezeki lain, bukan hasil lakonan semata-mata. Ini kerana ia akan mempengaruhi mood dan tenaga dalam lakonan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat