Stres dan comfort food

- Advertisement -
Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid & Dr Wong Min Fui

Pandemik Covid-19 bukan saja boleh memudaratkan kesihatan fizikal, malah impak daripada ekonomi yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan akan menyebabkan tekanan mental yang serius kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Mengikut statistik daripada Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masalah isu rumah tangga adalah antara aduan kebiasaan pemanggil sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini menunjukkan, sekadar duduk dan bekerja dari rumah ketika tempoh PKP boleh merumitkan masalah tekanan. Keadaan mungkin akan lebih teruk bagi penghuni yang tinggal di rumah flat kos rendah yang sesak dengan penghuni.

Masalah tekanan ini boleh menjerumuskan ke arah pengambilan pemakanan yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menjadi penyumbang utama kepada masalah obesiti. Stres atau tekanan mental adalah perubahan fisiologi akibat daripada cabaran hidup yang dihadapi. Ketika stres, seseorang cenderung mengambil ‘makanan yang memberikan keselesaan’ yang kebiasaanya mengandungi kalori, lemak dan gula yang tinggi seperti burger, kentang goreng, ais krim dan coklat.

Istilah ‘makanan yang memberikan keselesaan’ ini diperkenalkan sejak 1977 oleh majalah Washington Post ketika memperkenalkan cara masakan selatan.

Ramai masyarakat yang mengambil makanan boleh memberi keselesaan atau comfort food ini ketika stres kerana ia memberi perasaan nostalgik dan nilai sentimental kepada seseorang. Ramai yang suka perasaan yang memberikan keseronokan dan peningkatan emosi sementara, lega, merindukan dan mengidam sentiasa selepas pengambilan.

Oleh itu, tidak hairanlah ada antara mereka merawat emosi negatif dengan mengambil makanan itu kerana ia memberi kepuasan segera walaupun untuk sementara. Secara amnya, fenomena ini disebabkan adaptasi neurobiologi yang berkait rapat dengan hypothalamic- pituitary-adrenal (HPA) axis, glukosa metabolisma, kepekaan insulin dan hormon lain yang berkaitan dengan selera makan dan neuropeptida hipotalamus.

Dengan stres yang berterusan, pusat ganjaran otak menyebabkan kecenderungan kepada pengambilan makanan yang memberi keselesaan untuk meningkatkan kepuasan (disebabkan peningkatan dopamine) seseorang dalam kuantiti yang banyak.

Ini akan memberi kesan peningkatan obesiti melalui cara pengurusan stres yang tidak tepat. Ketika kawalan pergerakan, mereka yang terkandas di rumah, sering dilanda perasaan rimas dan kesunyian. Oleh itu, televisyen (TV), internet dan media sosial adalah penghibur utama atasi kebosanan di rumah.

Rancangan masakan di TV, video yang dimuat naik oleh travel food influencer seperti Mark Weins, Trevor James dan Mike Chen sudah menjadi sumber isyarat atau cues kepada otak dalam keadaan stres untuk mencari makanan yang lebih sedap bagi mencapai kepuasan yang sudah dijelaskan di atas.

Bagaimanakah, anda dapat mengatasi masalah di atas? Kesedaran terhadap kemudaratan pengambilan makanan secara berlebihan dan bertenaga tinggi adalah langkah pertama ke arah perubahan tabiat pemakanan.

Langkah seterusnya, jika anda mengetahui apakah cue yang memberi isyarat kelaparan atau mengidam, anda perlu elakkannya. Contohnya, sekiranya menonton rancangan masakan akan mempengaruhi anda makan berlebihan, anda dinasihatkan menjalani digital detoxification dan menggantikan aktiviti yang boleh mengurangkan stres seperti bersenam dan bermeditasi.

Selain itu, kurangkan penyimpanan stok makanan yang kurang sihat seperti kentang beku, ais krim dan mi segera.

Baru-baru ini, amalan meditasi menjadi kesukaan ramai dalam kalangan masyarakat. Ia berkesan untuk mengurangkan tekanan seperti yang disokong oleh banyak kajian yang dilakukan di luar negara mahupun tempatan.

Pendekatan meditasi boleh seringkas dengan bernafas secara mendalam ataupun sesi meditasi lebih kompleks kerana ia mampu mengurangkan kemurungan.

Ini akan mendorong seseorang itu menjadi lebih fokus dan mampu mengawal diri dan mengelakkan diri daripada beralih kepada cara pemakanan yang impulsif.

Walaupun keberkesanan senaman bergantung kepada jangka masa bersenam, intensiti bersenam dan tahap kortisol dalam badan secara keseluruhannya, bersenam dapat mengurangkan stres. Contoh, senaman atau aktiviti fizikal yang mampu mengurangkan stres adalah tai chi, yoga dan aerobik.

Sebagai contoh, dalam sesi kaunseling saranan kepada individu untuk berhenti merokok memerlukan individu itu menentukan tarikh berhenti dan memaklumkan kepada kawan-kawan dan ahli keluarga yang sanggup memberi sokongan. Teguran ahli keluarga sememangnya bagus untuk menyedarkan seseorang itu supaya mengelakkan diri daripada mengulangi tabiat lama dalam jangka masa pantang makan makanan yang tidak sihat.

Teknologi banyak memudahkan kehidupan kita hari ini. Pencapaian makanan yang sedia dimakan hanyalah di hujung jari. Hanya satu klik butang penghantaran di aplikasi GrabFood atau FoodPanda, penghantar makanan akan sampai di hadapan rumah dengan makanan yang dipesan.

Di sebalik kemudahan pasti ada kerumitannya. Ini memudahkan lagi pengambilan makanan yang tidak sihat dan ada antara anda akan makan secara berlebihan sekiranya makanan itu terlebih dipesan. Maka buatlah pilihan.

Dalam jangka masa PKP ini, bagi memudahkan anda mengamalkan tabiat makan yang lebih sihat, kami menyarankan konsep lampu isyarat (trafik). Ingin lebih sihat, jom amalkan tabiat yang lebih sihat dengan tip yang dikongsikan.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Perubatan serta calon Dr PhD, Fakulti Perubatan di Universiti Malaya (UM)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat