Gelombang Kedua Covid-19 : Jangan Letak Kesalahan PN/BN Semata-Mata – Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tidak adil meletakkan sepenuhnya beban kesalahan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akibat peningkatan penularan Covid-19,”kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia termasuk dirinya mulai risau dengan kemungkinan gelombang kedua Covid-19 sudah bermula.

“Namun, saya tengok penyokong Pakatan Harapan (PH) sudah mula buat kerja untuk menyalahkan PN/BN sebab PRN Sabah diadakan ketika jumlah kes Covid mula naik di sana.

“Ya, memang benar bahawa orang politik merumitkan keadaan dan sudah tentu kehadiran kita dari semenanjung di Sabah telah menaikkan risiko Covid ditular.

“Tetapi saya rasa ianya tidak adil untuk salahkan PN/BN sahaja sebab kita memang tidak mahu PRN Sabah diadakan,” catat Najib di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, PRN berlaku di sana selepas beberapa ADUN PH hilang kepercayaan pada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan melompat ke golongan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman.

“Namun dengan majoriti jelas, TYT Sabah enggan menerima Musa Aman sampai ke tahap Musa dihalang masuk ke Istana Sabah.

“Ini jauh berbeza dengan masa TYT menerima Shafie mengadap setelah UPKO melompat dan menjatuhkan Musa serta kerajaan BN Sabah selepas PRU14,” jelasnya.

Najib menjelaskan kronologi pembubaran DUN Sabah sehingga berlakunya proses PRN Sabah yang berlangsung 26 September lalu.

“TYT Sabah mengikut nasihat Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh dilaksanakan. Pada masa Shafie minta DUN dibubar, Musa juga tidak bersetuju.

“Bekas Ketua Menteri Sabah, (Tan Sri) Musa Aman berpendapat pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu dan membuang masa dan wang serta memudaratkan nyawa rakyat ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19. Dan kita telah tiga kali tuntut mahkamah untuk tangguhkan PRN.

“Malangnya mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan tolak permintaan ini walaupun memutuskan bahawa Musa Aman dijatuhkan tidak mengikut perlembagaan pada tahun 2018 dengan alasan wabak Covid di Sabah masih terkawal.

“Tiga kali kita pohon di tiga mahkamah, tiga kali permintaan kita ditolak. Shafie tidak kisah. Sebaliknya, beliau suruh orang yang positif Covid dibenarkan mengundi manakala pemimpin Warisan Ketapi menuduh bahawa kenaikan kes Covid di Sabah cuma satu wayang,” ujarnya.

Tambah Najib, ketika itu juga, pemimpin-pemimpin PH lain memuji “keberanian” Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung.

“Geng PH juga membantah arahan kuarantin dikeluarkan bagi mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung Malaysia dengan alasan bahawa ini akan melanggar demokrasi dan menakut-nakutkan pengundi.

“Akhirnya Shafie sendiri memohon maaf atas langkah dia membubar DUN dan melaksanakan PRN dengan alasan “warga Sabah berhak ada sebuah kerajaan yang bermaruah”.

“Sebab itu, jangan hanya salahkan PN atau BN sahaja.

“Kita tidak ada pilihan lain selain membantu berkempen di sana walaupun dinasihat oleh ahli keluarga untuk tidak lawat ke Sabah masa itu,” tegasnya.

Namun beliau tetap menaruh harapan kepada kebolehan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan PN untuk mengawal Covid-19.

“Saya juga percaya bahawa situasi Covid-19 pada masa ini juga jauh berbeza dengan keadaan pada bulan Mac lalu semasa PKP fasa 1 bermula,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat