‘Bikin filem dalam gelak ketawa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun menunggu tarikh tayangan akibat penularan pandemik COVID-19, francais ketiga filem Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof, akhirnya menjengah pawagam, Khamis depan.

Berkongsi keterujaan menghampiri detik tayangan, Syafiq mahu penonton terhibur dengan buah tangan terbarunya itu kerana itulah objektif dirinya dalam menghasilkan filem berkenaan.

“Kehidupan kita sebelum ini, terutama sejak pandemik COVID-19 menular cukup memberi tekanan. Jadi, nikmati filem ini sehabis baik.

“Saya siapkan filem ini dengan penuh gelak ketawa, terutama dengan adanya pembabitan Johan dan Zizan Razak. Jadi, saya mahu berasakan perkara sama.

“Rasional saya menyelitkan unsur komedi dalam filem ini bersebab. Saya cuba melawan arus. Cerita ini berunsur komedi, tetapi ada jalan cerita.

“Jadi, jangan pening kepala, tontonlah filem ini atas paksi mahu berhibur,” katanya pada malam gala filem Abang Long Fadil 3 (ALF 3) TGV Cinemas, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara, baru-baru ini.

Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw berbajet RM6 juta ini menjalani penggambaran pada 2019.

Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Mohd Yusof, 30, mengembangkan francais ketiga filem berkenaan dengan mengambil inspirasi dunia perisikan.

“Versi pertama filem ini menampilkan watak Fadil lakonan Zizan yang digambarkan sebagai gengster kampung berani. Dalam filem kedua pula, Fadil berjinak-jinak dalam dunia mafia.

“Jadi untuk kali ketiga ini, kita naik taraf watak itu jadi perisik pula. Kita juga tampilkan watak baharu yang lebih meriah,” katanya.

Syafiq mengaku bukan mudah menyatukan Zizan dan Johan dalam filem berkenaan.

“Zizan dan Johan diketahui umum sebagai figura lawak. Hendak kawal pelakon lain sepanjang penggambaran mudah. Namun, setiap kali adanya babak menampilkan Zizan dan Johan, keadaan jadi tidak terkawal.

“Seperti babak aksi, kita buat latihan sebelum penggambaran. Hendak jayakan satu babak aksi, ‘makan’ hari. Cuma tidaklah sampai berbulan-bulan seperti filem aksi Jackie Chan.

“Apa yang dilakukan, saya cuba atasi kehebatan sekuel kedua filem ini. Memang mencabar.

“Alhamdulillah, semua terkawal, penggambaran juga dijayakan penuh gelak ketawa,” katanya.

 

Kazar dan Zizan menghidupkan antara babak dalam filem Abang Long Fadil 3. Foto Ihsan Skop Productions
Kazar dan Zizan menghidupkan antara babak dalam filem Abang Long Fadil 3. Foto Ihsan Skop Productions

 

Syafiq memuji watak ketua ejen perisikan, National Secret Service (NSS), Cif Kazar yang dilakonkan bintang veteran, Kazar Saisi dalam filem berkenaan.

Namun, kelibat Kazar pada malam gala itu tidak kelihatan.

Bertanya kepada Syafiq, pengarah muda ini mengaku Kazar sudah diundang menghadiri majlis itu.

“Namun, bagi saya, Kazar baik hati kerana mengaku tidak mahu timbulkan apa-apa kontroversi jika hadir pada malam gala.

“Jadi, terpulanglah kepada dirinya. Kami sudah jemput beliau. Saya tawarkan watak itu sebelum tercetus kontroversi yang kita semua tahu.

“Saya dengan Kazar tiada masalah. Mengenai kontroversi tercetus, saya tidak tahu apa-apa. Namun, bagi saya, kerja tetap kerja.

“Saya juga tidak menetap sama dengan abang (Syamsul Yusof), jadi saya tidak tahu apa yang terjadi,” kata Syafiq yang mengambil pendekatan berkecuali dalam kontroversi itu.

Sebelum ini kecoh apabila isteri Syamsul, Puteri Sarah mendakwa anak Kazar, iaitu Ira menjadi orang ketiga yang mengganggu rumah tangga mereka hingga memaksa aktres terbabit mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita berkenaan.

Mengenai babak letupan dalam filem, Syafiq berkata, adegan itu berasaskan kejadian sebenar.

“Teknik imej janaan berkomputer (CGI) tidak banyak digunakan hanya antara 20 peratus hingga 30 peratus.

“Letupan kereta semuanya betul. Cuma kita guna kereta terpakai, termasuk jenis mewah, namun, itu tetap dikira kos.

“Malah, ketika penggambaran membabitkan babak letupan, soal keselamatan, terutama pelagak ngeri diutamakan.

“Anggota bomba dan penyelamat ‘standby’, walaupun membabitkan babak letupan kecil. Kita juga ada pasukan paramedik dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk polis trafik,” katanya.

Sementara itu, pemilik Skop Productions, Datuk Yusof Haslam mengaku sentiasa memantau kerja pengarahan anaknya itu.

Yusof menganggap Syafiq individu ‘cool’ dan tidak banyak bising.

 

Gandingan mantap Johan dan Zizan pasti menambat hati peminat berkunjung ke pawagam menonton filem Abang Long Fadil 3 yang mula ditayangkan, Khamis depan. Foto Ihsan Skop Productions Sdn Bhd
Gandingan mantap Johan dan Zizan pasti menambat hati peminat berkunjung ke pawagam menonton filem Abang Long Fadil 3 yang mula ditayangkan, Khamis depan. Foto Ihsan Skop Productions Sdn Bhd

 

“Saya lihat pelakon Abang Long Fadil 3 beri komitmen. Memang ada babak yang mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan,” katanya yang percaya anaknya itu mahukan yang terbaik dalam menyiapkan filem berkenaan.

Yusof mengaku Syafiq tertekan dengan kutipan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sentuhan Syamsul.

“Namun, mendengar ramai tetamu, termasuk rakan media bergelak ketawa pada malam gala, saya yakin penonton filem akan terhibur dengan Abang Long Fadil 3,” katanya.

Yusof menegaskan beliau memberi perhatian sama rata kepada Syamsul dan Syafiq dalam berkarya.

“Masing-masing ada kepakaran dan konsep berbeza. Syafiq lebih urban, manakala Syamsul ada sentuhan filem Hindustan dan penuh ‘feel’. Jadi, mereka mempunyai cara dan hala tuju berbeza.

“Namun, saya hendak ucapkan terima kasih kepada Astro Shaw kerana sudi melabur dalam filem ini. Memang ada masanya, kita terbit filem sendiri. Ada ketikanya, kita ajak pihak lain.

“Kerjasama dalam menerbitkan filem ini berpaksikan menang-menang. Hendak menghasilkan filem berkualiti perlu ada wang, termasuk pelabur,” katanya.

Johan yang memegang watak antagonis, Chow Han, mengakui berdepan isu kekangan waktu dalam menyiapkan filem berkenaan.

Semuanya berpunca beliau terikat dengan komitmen sebagai penyampai radio yang memberi cabaran dalam menjayakan filem berkenaan.

Johan atau nama penuh, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz mengaku perlu memberi mutu lakonan terbaik agar dapat dilepaskan lebih awal daripada lokasi dan memudahkan urusan semua pihak.

“Saya ada waktu yang sangat terhad disebabkan komitmen bersama stesen radio. Jadi, saya perlu dilepaskan lebih awal.

“Setiap babak saya perlu beri sehabis baik kerana saya kena pulang awal. Saya selalu cakap dengan Syafiq, sepanjang penggambaran, gunakanlah saya sebanyak mungkin,” katanya yang kini menjadi penyampai radio Hot FM.

Johan mengaku antara bahagian paling sukar ketika penggambaran adalah babak bertentang mata dengan Zizan.

“Apabila ada babak dengan Zizan, selalunya jadi susah sebab kami perlu bertentang mata.

“Natijahnya, kami lebih banyak bergelak, walaupun babak yang mahu disempurnakan membabitkan aksi berlawan.

“Namun, sepanjang penggambaran, kami sangat ‘enjoy’. Sampai kadang-kadang saya kena ingatkan Zizan waktu sudah pagi buta, takkan hendak bergelak sakan lagi,” katanya.

Sementara itu, Zizan mengakui tidak pernah serik bekerja di bawah arahan Syafiq.

“Syafiq adalah pengarah muda berbakat besar. Saya puji kemampuannya,” katanya.

Penggambaran Abang Long Fadil 3 pada 2019 mengambil masa 77 hari di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Klang.

Abang Long Fadil 3 turut menampilkan Maya Karin, Elizabeth Tan, Datuk AC Mizal, Shuib Sepahtu dan Ozlyn Wati.

Sama beraksi Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat