‘Jemput okay, tak jemput pun okay’ – Nazrey Johani

- Advertisement -

Petaling Jaya: Bekas anggota Raihan, Nazrey Johani tidak terkilan jika tidak dijemput menyertai Konsert Garis Masa Raihan yang akan berlangsung di Shah Alam, November ini.

Nazrey, 50, yang turut sama mencetuskan kebangkitan nasyid bersama empat anggota lain menerusi album Puji-Pujian berkata, dia menyedari konsert sebegini sukar dianjurkan dan turut gembira apabila mereka berjaya merancang konsert sempena meraikan ulang tahun ke-26 Raihan.

“Saya bersyukur atas usaha mereka. Bagi saya, kalau dijemput (menjayakan konsert itu), saya pergi. Kalau tidak, buat apa saya mahu bising-bising. Itu hak mereka (anggota Raihan) hendak panggil saya atau tidak,” katanya yang ditemui pada sidang media mengumumkan Konsert Nasyid Legenda 2022 di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Konsert Garis Masa Raihan akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 26 November ini.

Sejak pengumuman itu, peminat tertanya-tanya berkenaan pembabitan Nazrey bersama.

Nazrey berkata, dia perlu akur dengan keputusan Raihan dan meminta peminatnya memahami perkara ini.

“Memanglah peminat akan cari Nazrey, sebab kalau ada saya, lengkaplah Raihan. Ia ibarat sebelah tangan ada lima jari.

“Kalau tiada satu jari, tidak lengkaplah. Jadi begitulah keadaannya. Kalau dijemput, saya lihat lengkaplah persembahan itu. Tetapi, mana tahu, saya dijemput… Tiada masalah. Bagi saya, dipanggil, Alhamdulillah, tidak dipanggil pun, Alhamdulillah. Saya bukan buat-buat, sememangnya saya tiada masalah,” katanya yang kali terakhir mengadakan persembahan bersama Raihan pada Disember 2005 di Kanada.

Dalam perkembangan lain, Nazrey yang kini tampil solo akan terbabit dengan Konsert Nasyid Legenda yang akan dipentaskan di Dewan Sivik MBPJ pada 29 Oktober depan.

Konsert ini menampilkan perkembangan nasyid dari era Al-Jawaher, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan sezaman dengannya sekitar tahun 70-an ke 80-an.

“Tidak ketinggalan, era 1980-an seperti Nadamurni dan The Zikr. Seterusnya, era 1990-an hingga awal kegemilangan nasyid kontemporari seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani, Brother dan lain-lain.

“Ia juga menampilkan artis nasyid seperti Ustaz Akhil Hayy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan kumpulan Inteam serta Shahir Zawawi dan Ustaz Raja Suhaimi,” katanya.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Sahabat Nadamurni serta beberapa artis nasyid yang diuji musibah.

Menerusi nyanyian, Nazrey kini mengumpul dana bagi pembinaan semula pusat tahfiz kelolaannya, Al Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon di Ranau, Sabah yang rosak akibat tanah mendap, November lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat