Majlis Mineral Negara setuju cadangan tempoh minimum kelulusan pajakan melombong

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-3 (MMN Ke-3) hari ini bersetuju dengan cadangan tempoh minimum kelulusan pajakan melombong dan lesen melombong tuan punya di bawah Enakmen atau Ordinan Mineral Negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata cadangan itu merupakan langkah mewujudkan persekitaran industri mineral yang kondusif dan menyokong perkembangan industri.

“Selain itu ia juga boleh meningkatkan keharmonian antara pihak berkepentingan khususnya di peringkat kerajaan negeri dan pihak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat MMN Ke-3 yang yang dipengerusikan Fadillah berlangsung di bangunan Parlimen hari ini telah dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Fadillah berkata mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pengauditan pematuhan kendiri setiap enam bulan bagi mewujudkan industri pengkuarian yang bertanggungjawab dan mampan.

Inisiatif itu adalah sebagai langkah bagi mewujudkan industri pengkuarian negara yang mengamalkan prinsip bertanggungjawab dan mampan melalui pengauditan kendiri secara berkala berdasarkan kriteria yang telah dibangunkan.

Fadillah berkata enam kertas kerja yang menyentuh dasar penting dan operasi berkaitan sektor mineral telah dibentangkan, antaranya berkaitan kerangka Dasar Mineral Negara yang baharu, tempoh kelulusan berkaitan aktiviti perlombongan dan pelaksanaan pengauditan kendiri dalam industri pengkuarian.

“Secara umumnya keseluruhan kertas yang dibentang telah mendapat persetujuan di peringkat MMN. Antara perkara yang dipertimbangkan dalam mesyuarat kali ini adalah kertas berkaitan kerangka Dasar Mineral Negara 3 yang merupakan dasar baharu dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi memacu pembangunan industri mineral negara secara menyeluruh.

“Dasar ini akan menjadi panduan utama bagi menggantikan Dasar Mineral Negara 2 yang diguna pakai sejak tahun 2009,” katanya.

Selain itu MMN juga telah dimaklumkan mengenai bidang kuasa beberapa kementerian dan jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan NRES.

Mesyuarat MMN Ke-3 kekal menjadi salah satu platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha membangunkan industri ini secara bertanggung jawab dan mampan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat