Cyberjaya – Pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia, BYD, mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat dron nombor satu dunia, DJI, bagi memperkenalkan sistem dron terbina dalam kenderaan.
DJI, yang menguasai hampir 70% pasaran dron global, terkenal dengan model seperti DJI Mini 3, manakala BYD baru sahaja mengatasi Tesla dalam jualan EV suku tahun lalu. Kerjasama ini dijangka membawa inovasi baharu dalam teknologi automotif dan akan diumumkan secara rasmi pada 2 Mac.
Rakam Perjalanan dengan Dron Automatik
BYD memberikan petunjuk bahawa dron ini akan digunakan untuk merakam perjalanan kenderaan secara automatik, sekaligus menjadikan pengalaman pemanduan lebih menarik. Ini bukan kali pertama BYD mengintegrasikan teknologi dron dalam kenderaan mereka – model BYD Yangwang U8, sebuah SUV mewah bernilai lebih RM700,000, sudah pun dilengkapi sistem dron yang membantu pemandu mendapatkan pandangan lebih jelas di kawasan luar bandar.
Namun, kerjasama dengan DJI kali ini bertujuan membawa teknologi ini kepada lebih banyak model BYD dengan harga lebih mampu milik.
BYD Cabar Tesla dengan Inovasi Baharu
Selain integrasi dron, BYD juga baru-baru ini melancarkan sistem pemanduan autonomi “God’s Eye”, yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna EV mereka – berbeza dengan sistem Full Self-Driving (FSD) Tesla yang masih dalam peringkat awal di China.
Dengan kelebihan seperti sistem dron terbina dalam dan harga yang lebih kompetitif, BYD dilihat semakin agresif dalam saingan EV global. Kini, Tesla perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kedudukan mereka di pasaran, terutamanya di China dan Asia.