Lafaz Ikrar Rukun Negara Di Majlis Bersesuaian Tingkat Semangat Patriotisme, Perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Cadangan Majis Raja-Raja supaya lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian, dilihat mampu meningkatkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata penekanan diberikan institusi diraja agar bacaan ikrar itu diketuai sendiri pemimpin yang dilantik, menggambarkan bahawa penghayatan kepada Rukun Negara perlu bermula daripada pemimpin sebagai suri tauladan.

Katanya penampilan tokoh kerajaan yang memimpin bacaan itu dapat mempengaruhi rakyat untuk lebih menghayati, memahami dan mengamalkan prinsip berkenaan, yang bertujuan menyatukan serta mengurangkan jurang ekonomi antara masyarakat berbilang kaum dalam negara.

“Konsep Rukun Negara ini bukan sahaja dibaca dan diperdengarkan dalam ikrar, tetapi perlu juga dilaksanakan oleh kerajaan yang mentadbir dengan memberi penekanan kepada elemen-elemen terkandung di dalamnya.

“Jika dilihat dari segi sejarah, Rukun Negara itu sendiri dibina berasaskan hasrat untuk menyatukan rakyat yang berdepan dengan isu perkauman terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969. Pada waktu itu ia digubal bagi menjadi asas kepada penyatuan seluruh rakyat Malaysia dan dipersetujui segenap lapisan masyarakat melalui proses yang teliti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian yang diketuai pemimpin dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia bersuara lantang.

Muhammad Fathi berkata elemen yang terdapat dalam perlembagaan seperti kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam juga perlu diperjelaskan secara berterusan kepada masyarakat agar matlamat perpaduan dapat direalisasikan.

Turut senada Felo Majlis Profesor Negara Prof Emeritius Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyifatkan Rukun Negara sebagai peranti utama dalam memastikan perpaduan terutama ketika negara berdepan pelbagai isu sensitiviti agama dan kaum.

Teo berkata titah Tuanku Muhriz mampu menjadi ‘pemberat’ untuk bacaan ikrar Rukun Negara dilaksanakan secara lebih berkesan dan bukan sekadar prinsip yang dihafal semata-mata.

Menurutnya apabila pemimpin sendiri yang mengetuai bacaan ikrar dalam sesuatu majlis, ia sekali gus memperlihatkan keseriusan untuk mematuhi titah tersebut selain disifatkan sebagai pendekatan lebih tegas.

“Kalau boleh pemimpin yang kedudukan lebih tinggi seperti perdana menteri, ketua setiausaha negara yang mewakili kerajaan, dan kalau di sekolah misalnya guru besar, pendekatan ini memberi impak lebih berkesan.

“Walaupun ada yang kata seolah terlambat sebab sudah lebih 50 tahun baru nak laksanakan, bagi saya tiada istilah terlambat untuk melakukan sebarang inisiatif yang bertujuan ke arah kebaikan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat