Hasil kerja berpasukan penentu filem terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan filem Split Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah menerima 14 pencalonan, sekali gus mendominasi senarai lima terbaik Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM 32) tidak akan menjadi realiti tanpa kerjasama dan komitmen jitu ditunjukkan warga kerja filem berkenaan.

Penerbit dan pengarah filem, Datuk Zahim Albakri Ikmal Hisham Albakri, 59, berkata setiap individu yang terbabit dalam pembikinan filem turut memberi, walaupun tidak menembusi mana-mana kategori.

“Saya percaya pelakon dan kru produksi yang terbabit dalam filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah memberi sumbangan dari segi tenaga dan bakat terbaik untuk filem ini.

“Dengan sumbangan dan komitmen ditunjukkan, ia sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya bahawa filem ini berpotensi untuk menang beberapa kategori,” katanya kepada BH Online.

Zahim berkata, antara kategori yang dijangka membawa tuah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik yang mempertaruhkan bintang legenda, Datuk Rahim Razali dengan memegang watak Bapak.

“Sukar membayangkan pelakon lain membawa watak Bapak. Keistimewaan dan bakat Rahim membawa watak Bapak daripada pementasan teater Spilt Gravy on Rice pada 2002/2003 hingga ke layar perak sangat mengagumkan.

“Saya berharap sumbangan Allahyarham Jit Murad dalam kategori Cerita Asal Terbaik turut diberikan perhatian panel juri.

“Pengiktirafan ini boleh memberi kesan dalam memperkenalkan bakat Jit sebagai karyawan negara yang luar biasa kepada generasi baharu di Malaysia,” ujarnya.

Berkongsi perasaan kejayaan filem mendominasi senarai lima terbaik FFM 32, Zahim berkata, agak sukar mempercayainya apabila mendengar pengumuman Top 5, baru-baru ini.

“Filem Split Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah menerima 15 pencalonan dalam 14 kategori. Menerusi kategori Pelakon Harapan, terdapat dua calon bersaing iaitu Bernie Chan dan Joelah Charles.

“Mulanya, saya ragu-ragu diberitahu penghargaan luar biasa ini melalui pesanan teks yang agak kucar-kacir dan tidak jelas.

“Tertanya-tanya juga betulkah berita yang diterima kerana kebanyakan dialog filem ini menggunakan bahasa Inggeris.

“Sehingga hari ini, saya sukar percaya dan berasakan mungkin ada kesilapan ketika pengumuman pencalonan ini,” kata Zahim.

 

Antara kategori dijangka membawa tuah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik yang mempertaruhkan bintang legenda, Datuk Rahim Razali dengan memegang watak Bapak.
Antara kategori dijangka membawa tuah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik yang mempertaruhkan bintang legenda, Datuk Rahim Razali dengan memegang watak Bapak.

 

Filem terbitan ZSA Productions itu turut menembusi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Bernie Chauly), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rahim Albakri).

Zahim turut bersaing dalam kategori Pengarah Harapan, manakala Bernie dan Joelah Charles bagi kategori Pelakon Wanita Harapan.

Filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah juga memberi saingan bagi kategori Rekaan Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Mengekori rapat filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah adalah naskhah berkisar pasukan tentera udara iaitu Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang menerima 13 pencalonan.

Mengulas kejayaan awal diraih menerusi filem bergenre aksi dan drama itu, penerbit Multimedia Productions Sdn Bhd, Keoh Chee Ang meluahkan rasa bangga dengan pencapaian filem itu.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati terselit kecewa apabila kategori diharapkan tidak berjaya.

“Saya terharu mendapat tahu filem ini menerima 13 pencalonan. Bukan filem ini sahaja, tetapi ada dua filem terbitan Multimedia Productions berjaya menembusi senarai lima terbaik iaitu filem Rasuk dan 3 Janda Melawan Dunia.

“Walaupun gembira dengan senarai pencalonan diterima, saya kecewa apabila filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa gagal melepasi kategori Penata Seni Terbaik.

“Untuk filem ini, kami melakukan pelaburan besar untuk membina set perkampungan dan beberapa set lain. Kami juga terpaksa berdepan cabaran apabila set musnah setiap kali hujan.

“Sepanjang penggambaran banyak kali kami bina semula set selepas hujan. Ada masanya sehingga lewat pagi baru dapat disiapkan.

“Justeru, saya kecewa tidak melepasi calon lima terbaik Penata Seni Terbaik. Rasa seperti usaha dan penat lelah membazir begitu sahaja,” luahnya.

 

Zahim sukar percaya filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah mendominasi pencalonan akhir FFM 32 apabila diumumkan, baru-baru ini.
Zahim sukar percaya filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah mendominasi pencalonan akhir FFM 32 apabila diumumkan, baru-baru ini.

 

Mengenai kejayaan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang disifatkan bertuah berjaya mendapat pengiktirafan walaupun berunsur komersial, Penerbit Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Operasi GSC Movies, Tung Yow Kong tidak menganggap filem berunsur komersial sukar mendapat tempat pada FFM 32.

“Dalam soal ini, paling utama adalah menghasilkan filem berkualiti. Jika sesebuah filem dapat dihasilkan dengan menitikberatkan kualiti dan cita rasa penonton, selebihnya terpulang kepada juri.

“Secara jujur, kami hanya ingin mengetengahkan perjuangan tentera negara dan aset ketenteraan pada mulanya.

“Itu adalah misi dalam menghasilkan karya berkualiti. Bagaimanapun, pencalonan FFM 32 umpama bonus yang memberi pengiktirafan kepada karyawan yang berusaha untuk menjayakan filem,” katanya.

Selain filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, dua lagi filem iaitu Juang dan Abang Long Fadil 3 dengan masing-masing 10 pencalonan turut mendominasi 22 pencalonan dipertandingkan.

Kategori Filem Terbaik bakal memenangi Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000, manakala pemenang setiap kategori bawa pulang hadiah wang tunai antara RM5,000 hingga RM15,000.

Bagi kategori Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman menerima pakej umrah dan RM15,000.

Bertemakan Filem Kita, Citra Kita, malam kemuncak FFM 32 bakal berlangsung di Encore, Melaka, esok.

FFM 32 dijangka dihadiri lebih 1,400 jemputan, termasuk 250 calon dan 21 artis veteran Singapura serta tempatan.

Acara itu akan dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim. Antara barisan artis terbabit termasuk Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan Londoh dan Hazama akan mengisi slot persembahan pada malam kemuncak FFM 32.

Penyampai trofi pula menampilkan Maya Karin, Nam Ron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh dan Ashraf Muslim.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat