Lawak Soda ‘OHSEM’

- Advertisement -

MINAT mendalam terhadap komedi membuatkan dua anak muda berkaliber, Sofwan Fathi Roosle atau Wan, 29, dan Danieal Aidid Jamil (Danny), 27, sanggup bergabung membentuk kumpulan Soda bagi mengetengahkan bakat mereka.

Kesungguhan tanpa mengenal jemu, kecewa dan mudah putus asa itu, nyata membuahkan hasil kepada mereka apabila kumpulan Soda dinobatkan juara dalam program Awesome Raja Lawak (ARL) musim pertama baru-baru ini, sekali gus meraih RM50,000.

Wan berkata, dia berharap bakat dimiliki Soda dalam komedi terus berkembang dan mereka mendapat banyak tawaran persembahan.

Katanya, dia dan Danny mempunyai impian menjadi pelawak yang berjaya.

“Saya dan Danny sebenarnya kami adalah pelawak solo. Tapi, dalam persaingan di pentas ARL itu kami sepakat bergabung sebagai duo dalam satu kumpulan untuk mencari pengalaman baharu dan sama-sama berkongsi idea.

“Alhamdulillah, tak sangka gandingan kami menjadi dalam ARL dan ia cabaran yang amat besar. Banyak suka dan duka yang kami lalui sepanjang persaingan itu berlangsung, terutama ada idea menjadi dan sebaliknya,” katanya.

 

KUMPULAN Soda dianggotai Wan (kiri) dan Danny. FOTO Ezairi Shamsudin
KUMPULAN Soda dianggotai Wan (kiri) dan Danny. FOTO Ezairi Shamsudin

 

Menurut Wan, dia banyak mendapat bimbingan dalam komedi daripada pelakon, pengarah, pengacara dan pelawak ‘otai’, Datuk Afdlin Shauki sejak 2018 dan pernah membuat persembahan di Comedy Planet milik selebriti berkenaan.

Bagi Danny pula, dia juga sudah aktif dalam komedi sejak beberapa tahun lalu. Katanya, dia seronok menceburi lawak kerana mahu menghiburkan orang ramai, malah mendapat sokongan keluarga.

“Lawak atau komedi ini bukan mudah kerana ia memerlukan kita mencari idea menarik, terutama bersesuaian dengan isu semasa. Malah, kena lihat juga ia kandungan yang dekat dengan kisah masyarakat.

“Jadi, saya bersama Wan akan terus berusaha mengetengahkan Soda kepada penonton. Bagi kami, rezeki ada di mana-mana dan perlu rajin berusaha. Kami juga akan terus menjalin hubungan silaturahim yang baik dengan pelawak senior untuk menimba ilmu dan pengalaman,” katanya.

Pada pentas akhir ARL musim pertama itu, naib juara menjadi milik kumpulan Se’eh yang membawa wang tunai RM25,000 dan tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Mabo yang menerima RM15,000.

Bagi tempat keempat diraih oleh peserta solo lelaki, Azhar, manakala, tempat kelima pula kumpulan Sedare serta tempat keenam, kumpulan Manja yang masing-masing hanya membawa pulang hadiah berupa trofi.

Harian Metro

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat