KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menasihatkan warga emas dan individu dengan komorbiditi supaya tidak membuat perjalanan ke luar negara dan mengelakkan dari menghadiri lokasi awam yang sesak,” kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata nasihat tegas itu bagi melindungi golongan berkenaan yang mudah dijangkiti virus COVID-19 varian Omicron.
“Kalau tak dapat elak, kita faham. Tetapi kalau dapat elak jangan bawa warga emas ke tempat sesak pada masa ini.
“Warga emas dan mereka yang ada komorbiditi serius juga dinasihatkan supaya mengelak daripada membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini disebabkan varian Omicron,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, KKM juga umum mengambil beberapa langkah keselamatan bagi mengekang penularan varian Omicron termasuk menghentikan sementara penggunaan sistem pagar automatik di lapangan terbang secara serta-merta.
Khairy berkata, arahan yang dikeluarkan itu bagi membolehkan pegawai daripada Jabatan Imigresen (JIM) dapat menyoal pengembara mengenai sejarah perjalanan mereka.
Beliau memberitahu, sekiranya sistem pagar automatik itu masih digunakan, pihak JIM tidak dapat mengetahui sama ada pengembara itu pernah mengunjungi negara yang berisiko atau sebaliknya.
“Selain itu penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron yang disenaraikan hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) saja.
“Pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga perlu menyediakan laluan khas bagi pengembara berkenaan serta syarikat penerbangan perly bertanggungjawab mengenalpasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau berisiko tinggi yang menaiki penerbangan mereka.
“Laluan khas itu bagi melaksanakan proses saringan kesihatan dan penyelarasan stesen kuarantin khas yang ditentukan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.
Beliau berkata, maklumat pengembara kemudian perlu dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA bagi memudahkan pengendalian ketibaan pengembara negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara yang berisiko tinggi.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, varian Omicron mempunyai banyak mutasi, termasuk 26 hingga 32 mutasi ‘spike protein’ serta terdapat 10 mutasi preotein yang melekat kepada ‘ACE receptor’ yang membolehkan virus itu masuk ke dalam sel badan.
Katanya, varian berkenaan juga menular pada kadar yang lebih pantas daripada varian lain dan ia menunjukkan berkemungkinan besar ia lebih mudah merebak.