Malaysia Mampu Keluarkan Produk Vaksin Berkualiti, Berkesan dan Selamat – Ismail Sabri

- Advertisement -

BANGI – Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin (PPVN) yang dilancarkan hari ini tidak hanya tertumpu kepada vaksin COVID-19 semata-mata, namun ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit-penyakit lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih ramai saintis vaksin akan dilahirkan, seterusnya menyokong perancangan kerajaan meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah untuk pasaran global.

“Negara mempunyai saintis vaksin yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin.

“Saya ucapkan terima kasih kepada saintis yang berada di depan saya ketika ini di atas segala penat lelah selama ini yang menjadi kelompok utama menghasilkan vaksin untuk manusia,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Bangi, hari ini.

Menurutnya, antara usaha yang telah dilakukan termasuk Pharmaniaga menerusi proses pembotolan atau ‘fill and finish’ vaksin COVID-19 iaitu CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac, dan syarikat Solution Biologics bagi pembotolan vaksin Convidecia, atau dikenali sebagai CanSino.

Jelas beliau, melalui kajian pelan pembangunan vaksin negara oleh Majlis Sains Negara, pelan ini telah dilaksanakan secara bersama oleh MOSTI dan KKM.

“Melalui kajian ini, kerajaan telah bersetuju agar MOSTI memberi fokus terhadap pembangunan dan penyelidikan vaksin tempatan.

“Hasilnya, pada hari ini kita menyaksikan Institut Genom Malaysia (MGI) dinaiktaraf kepada Institut Genom dan Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI),” katanya.

Tambahnya. naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

Beliau yakin penubuhan MGVI dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar.

“Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia juga mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat