Nurul Izzah Layak Sebagai Penasihat Perdana Menteri

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Tindakan Perdana Menteri Ke-10 melantik anaknya Nurul Izzah Anwar sememangnya telah menarik banyak perhatian rakyat Malaysia pada hari ini.

Ramai yang berkata ini adalah sebahagian daripada barah “nepotisme” lantas merosakkan agenda Reformasi yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dari tahun 1998 atau sebelumnya lagi.

Sebelum kita mendapat “dosa kering” dengan menghamburkan tuduhan-tuduhan tertentu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa kata kita menilai dahulu adakah tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri Ke-10 merangkap Menteri Kewangan Malaysia ini sebenarnya nepotisme ataupun ianya adalah satu pilihan yang benar-benar adil dari konteks meletakkan sesuatu perkara di tempat yang sepatutnya.

Apa itu Nepotisme?

Merujuk kepada Kamus Cambridge, “Nepotism” atau dalam bahasa Melayunya “Nepotisme” adalah satu kelebihan, keistimewaan atau tempat yang diberikan kepada kaum keluarga dan rakan-rakan di dalam sesuatu pekerjaan atau bidang untuk kepentingan peribadi.

Jelas di sini lantikan ke sesuatu jawatan yang tidak berbayar bukanlah satu daripada contoh nepotisme kerana ia tidak mendatangkan manfaat peribadi langsung kepada Perdana Menteri Ke-10 mahupun kepada Nurul Izzah Anwar sendiri.

 

Hakikatnya, bagi yang pernah terlibat dengan Parti Keadilan Rakyat sudah tentu kita ketahui bahawa sungguhpun Nurul Izzah Anwar (anak) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka adalah penggerak utama kepada agenda reformasi terutamanya pada ketika Perdana Menteri ke-10 itu terpasung didalam penjara.

Tanpa komitmen dan usaha dipihak mereka sudah Parti Keadilan Rakyat tidak akan berupaya untuk mekar sepertimana yang dapat kita lihat pada hari ini, apatahlagi gabungan-gabungan seperti Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, sudah tentu tidak akan wujud sama sekali.

Tetapi, lantikan ini mungkin sebal di mata sesetengah pengkritik Perdana Menteri Ke-10 kerana ini dijadikan “lubuk” untuk menghentam beliau yang selama ini dikatakan menolak apa jua bentuk nepotisme dan kronisme yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

Para pengkritik juga menyifatkan ini adalah kegagalan Perdana Menteri dalam memperkasa agenda reformasi dan juga mempertikaikan apakah Nurul Izzah Anwar layak memegang jawatan tersebut.

Seolah-olah mereka telah melupakan bahawa dengan pengalaman selama lebih dua dekad dalam arena politik nasional dan tiga penggal menjadi ahli parlimen, Nurul Izzah Anwar telah banyak menyumbang kepada perkembangan pentadbiran dan politik negara.

Sudah tentu pandangan beliau sebagai aktivis politik dan masyarakat amat berharga dan bernilai untuk dipertimbangkan oleh pemerintah negara ini.

Apakah Nurul Izzah Anwar harus dinafikan keupayaannya hanya kerana beliau anak kepada Perdana Menteri, sedangkan semasa bapanya di penjara, beliau dan ibunya tetap komited menjadi tulang belakang gerakan pembangkang, yang menjadi sebahagian daripada jentera untuk menyemak imbang segala polisi kerajaan pada ketika itu.

Kita juga perlu ingat, semasa Pakatan Harapan 1.0 memenangi PRU-14, Nurul Izzah Anwar telah menolak jawatan-jawatan yang telah diberikan kepada beliau, sedangkan pada ketika itu jawatan yang beliau sandang membolehkan beliau untuk mendapat gaji atau elaun yang besar.

Pada saat ini, tatkala beliau tidak mewakili mana-mana parlimen apakah salah kiranya beliau diberikan tanggungjawab untuk menjadi penasihat kepada Perdana Menteri, yang jawatan tersebut tidak bergaji dan tiada kuasa untuk meluluskan apa jua perkara di dalam mana-mana kementerian, bagi beliau menyampaikan buah fikiran beliau.

Tidak adil untuk kita menyamakan lantikan Nurul Izzah Anwar ini sebagai amalan nepotisme, kerana pengorbanan dan perjuangan beliau di dalam arena politik Malaysia adalah amat signifikan dan sewajarnya untuk meletakkan beliau sebagai penasihat bukanlah sesuatu yang janggal dan aneh untuk dilakukan.

Penulis amat berharap agar Nurul Izzah Anwar dapat meneruskan tugas beliau dengan baik, semoga dengan pandangan, nasihat dan cadangan beliau Perdana Menteri Malaysia ke-10 dapat membuat keputusan yang baik untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Nota: Penulis adalah seorang peguambela & peguamcara dan aktivis masyarakat yang menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat