SPRM beku akaun Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu, baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

“Saya boleh sahkan perkara itu, namun maklumat terperinci tidak dapat saya kongsi buat masa sekarang. Ahli MPT dimaklumkan perkara ini beberapa hari lalu,” katanya lapor BH.

Dr Muhammad Faiz berkata beliau percaya pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata setakat ini semua pemimpin PN dalam pemukiman di Terengganu dan tidak ada sebarang maklumat atau panggilan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Sementara itu, usaha portal itu menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu masih tidak berhasil.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Terdahulu, Marzuki Mohamad yang juga bekas ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyiarkan penyata akaun Bersatu bagi tahun 2020 dan 2021 yang sudah diaudit.

“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia sudah difailkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya.

Beliau berkata, penyata kewangan Bersatu 2022 itu akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Mac depan .

“Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 dan letak jawatan pada 16 Ogos 2021. Jika RM4 bilion masuk dalam akaun Bersatu selepas beliau letak jawatan, hebat betullah Bersatu.

“Untuk rekod, Umno ada RM192 juta ketika akaun parti itu dibekukan pada tahun 2018. Itu mungkin baki perbelanjaan PRU 14. Baki ya tuan-tuan, atau ‘loose change’,” katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya akaun Bersatu diperiksa, akaun parti-parti lain seperti PKR dan DAP juga perlu dilakukan sedemikian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat