Elaun guru bertugas di pedalaman RM1,500 tak setimpal beban kewangan sebenar

KUALA LUMPUR – Elaun guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman tidak setimpal dengan tahap kesukaran sebenar yang mereka hadapi setiap hari.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLK) maksimum sebanyak RM1,500 sebulan tidak mencukupi dengan beban kewangan sebenar terpaksa ditanggung guru di kawasan pedalaman, ter­utamanya yang bertugas di lokasi kategori Pedalaman Tiga.

Menurutnya, kebanyakan guru terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan elaun tersebut hanya untuk menampung kos pengangkutan se­perti sewa bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi keperluan ulang-alik ke sekolah, lapor Utusan.

“Sebahagian besar daripada elaun itu hanya cukup untuk menampung sewa bot atau pacuan empat roda. Tiada manfaat lain yang dapat dirasai oleh guru, sedangkan mereka berdepan pelbagai kesukaran termasuk laluan berisiko, tiada kemudahan asas dan jauh daripada keluarga.

“Bukan itu sahaja, ada guru yang perlu menempuh perjalanan sehingga enam jam sehari merentas sungai, hutan dan jalan tidak berturap hanya untuk sampai ke sekolah.

“Jangan nilai sekadar ang­ka RM1,500 itu kerana hakikat­nya, pengorbanan mereka jauh lebih besar daripada jumlah diterima,” katanya memetik akhbar itu lagi.

Semalam, Menteri Pendi­dikan Fadhlina Sidek ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan belum bercadang untuk mengkaji semula kadar elaun khas kepada guru yang bertugas di pedalaman.

Fouzi berkata, kenyataan Fadhlina itu amat mengecewakan kerana kadar BIMLK sedia ada sudah terlalu lama tidak dikaji.

“Kali terakhir elaun ini di­semak adalah pada tahun 2002. Sudah lebih dua dekad tanpa semakan, sedangkan kos sara hidup dan cabaran di kawasan pedalaman semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, NUTP menggesa kementerian ber­kenaan menilai semula kadar BIMLK agar lebih realistik dan mencerminkan kesukaran sebenar di lapangan.

“Jika isu ini terus dipandang ringan, guru akan hilang motivasi dan enggan berkhidmat di kawasan pedalaman, sekali gus menjejaskan kualiti pendidikan luar bandar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat