KUALA LUMPUR – Elaun guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman tidak setimpal dengan tahap kesukaran sebenar yang mereka hadapi setiap hari.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLK) maksimum sebanyak RM1,500 sebulan tidak mencukupi dengan beban kewangan sebenar terpaksa ditanggung guru di kawasan pedalaman, terutamanya yang bertugas di lokasi kategori Pedalaman Tiga.
Menurutnya, kebanyakan guru terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan elaun tersebut hanya untuk menampung kos pengangkutan seperti sewa bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi keperluan ulang-alik ke sekolah, lapor Utusan.
“Sebahagian besar daripada elaun itu hanya cukup untuk menampung sewa bot atau pacuan empat roda. Tiada manfaat lain yang dapat dirasai oleh guru, sedangkan mereka berdepan pelbagai kesukaran termasuk laluan berisiko, tiada kemudahan asas dan jauh daripada keluarga.
“Bukan itu sahaja, ada guru yang perlu menempuh perjalanan sehingga enam jam sehari merentas sungai, hutan dan jalan tidak berturap hanya untuk sampai ke sekolah.
“Jangan nilai sekadar angka RM1,500 itu kerana hakikatnya, pengorbanan mereka jauh lebih besar daripada jumlah diterima,” katanya memetik akhbar itu lagi.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan belum bercadang untuk mengkaji semula kadar elaun khas kepada guru yang bertugas di pedalaman.
Fouzi berkata, kenyataan Fadhlina itu amat mengecewakan kerana kadar BIMLK sedia ada sudah terlalu lama tidak dikaji.
“Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada tahun 2002. Sudah lebih dua dekad tanpa semakan, sedangkan kos sara hidup dan cabaran di kawasan pedalaman semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, NUTP menggesa kementerian berkenaan menilai semula kadar BIMLK agar lebih realistik dan mencerminkan kesukaran sebenar di lapangan.
“Jika isu ini terus dipandang ringan, guru akan hilang motivasi dan enggan berkhidmat di kawasan pedalaman, sekali gus menjejaskan kualiti pendidikan luar bandar,” katanya.



