MCA Desak Teo Nie Ching Jelaskan Dakwaan Ketua JKOM Label Pengkritik Sebagai ‘Cina Sesat’

KUALA LUMPUR, 14 Jun — MCA mendesak Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, tampil memberikan penjelasan segera berhubung kenyataan Ketua Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu dilantik, Syam Ghaz, yang didakwa melabel dua pengkritik kerajaan sebagai “Cina sesat”.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata memandangkan JKOM berada di bawah Kementerian Komunikasi, Teo tidak boleh berdiam diri dan menganggap perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan beliau.

Menurut beliau, beberapa persoalan perlu dijawab oleh Kementerian Komunikasi, termasuk sama ada kenyataan tersebut mencerminkan pendirian rasmi kementerian dan sama ada ia menjadi standard baharu komunikasi kerajaan Madani.

“Adakah wang rakyat kini digunakan untuk membayar pegawai komunikasi kerajaan menyerang pengkritik dengan label berbaur perkauman?” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Wee turut menegaskan bahawa Teo bukan sahaja Timbalan Menteri Komunikasi, malah merupakan pemimpin DAP serta Timbalan Pengerusi DAP Johor, justeru parti itu juga perlu memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan.

Beliau mendakwa sekiranya ungkapan seumpama itu digunakan oleh pihak pembangkang, DAP akan menjadi antara pihak yang paling lantang membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), perpaduan nasional serta keharmonian antara kaum.

“Namun apabila ia datang daripada seorang pegawai kerajaan yang baru dilantik, mengapa DAP memilih untuk berdiam diri?” katanya.

Sehubungan itu, MCA mengemukakan empat tuntutan kepada Teo Nie Ching dan Kementerian Komunikasi, iaitu menyatakan sama ada kenyataan Ketua JKOM tersebut boleh diterima atau tidak, mengarahkan Syam Ghaz memohon maaf secara terbuka atau memecatnya, menjelaskan sama ada tindakan tatatertib akan diambil serta memberi jaminan bahawa JKOM tidak akan digunakan sebagai jentera propaganda partisan yang dibiayai wang rakyat.

Wee berkata Malaysia tidak memerlukan sebuah agensi komunikasi kerajaan yang bertindak seperti “cybertrooper” parti politik dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Menurut beliau, jika Kerajaan Madani benar-benar komited dalam menangani isu 3R, prinsip yang sama perlu diterapkan kepada semua pihak termasuk pegawai yang dilantik oleh kerajaan sendiri.

“DAP dan Teo Nie Ching tidak boleh pilih kasih. Diam bukan lagi pilihan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat