Enam Salah Faham terhadap inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD)

- Advertisement -

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan bahawa inisiatif penggunaan data telefon bimbit (Mobile Phone Data – MPD) bukan bertujuan mengintip atau memantau individu seperti didakwa sesetengah pihak.

Bercakap secara eksklusif kepada Free Malaysia Today, Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Zurkarnain Mohd Yasin, menafikan MPD merupakan satu bentuk pengintipan terhadap privasi rakyat. Sebaliknya, MPD bertujuan mendapatkan gambaran statistik makro bagi membantu kerajaan merancang dasar awam dan pembangunan infrastruktur negara secara lebih berkesan berasaskan data raya (big data).

Beliau turut menjelaskan secara terperinci enam dakwaan tidak tepat mengenai MPD yang tersebar di media sosial, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Pertama, dakwaan bahawa kerajaan mengumpul lokasi sebenar individu untuk tujuan pengawasan adalah tidak benar.

Menurut Zurkarnain, data lokasi yang dikumpulkan menerusi MPD berdasarkan lokasi menara pemancar (transmitter), bukan lokasi tepat peranti atau individu. Tiada sebarang sistem penjejakan lokasi digunakan.

“MPD tidak merangkumi data lokasi tepat pengguna atau ID peranti. Data telah dinyahidentiti sepenuhnya sebelum diproses,” jelas beliau.

Ini bermaksud MPD hanya mengetahui bilangan peranti pengguna di sesuatu kawasan, bukannya identiti pengguna tersebut.

Kedua, dakwaan bahawa kerajaan mengumpul ID peranti pengguna juga dinafikan.

Zurkarnain menegaskan bahawa set data yang diperoleh daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah dinyahidentiti sepenuhnya tanpa nombor telefon, nama, ID peranti atau butiran langganan pengguna.

Ketiga, berhubung dakwaan kerajaan menyimpan log panggilan pengguna, Zurkarnain menekankan MPD tidak menyimpan sebarang log panggilan mahupun kandungan komunikasi pengguna.

Sebaliknya, data MPD hanya merekodkan cap masa (timestamp) apabila peranti mula berhubung dengan rangkaian secara automatik, tanpa mengenal pasti siapa yang dihubungi atau tempoh panggilan tersebut.

Keempat, dakwaan mengenai kerajaan mengumpul sejarah penggunaan internet individu turut dinafikan.

Beliau menjelaskan bahawa MPD sama sekali tidak membabitkan corak akses internet, alamat IP, mahupun aktiviti dalam talian pengguna. Data yang dikumpul hanya membabitkan aliran komunikasi antara peranti dengan menara pemancar bagi memastikan operasi rangkaian.

Kelima, dakwaan bahawa data MPD digunakan untuk pemantauan dan kawalan individu juga tidak relevan.

Ini kerana data tersebut bersifat agregat dan telah dinyahidentiti sepenuhnya. Matlamat utama MPD hanyalah sebagai sumber statistik makro yang membantu kerajaan membuat keputusan dan perancangan pembangunan yang lebih efektif.

Beliau turut menjelaskan bahawa kaedah ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu sumber data raya yang penting bagi memperkukuhkan statistik negara serta meningkatkan kualiti, ketepatan masa, dan perincian maklumat.

“PBB juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit di bawah Jawatankuasa Pakar Data Raya dan Sains Data yang disertai lebih 50 ahli termasuk Malaysia, terdiri daripada agensi antarabangsa, kerajaan, akademia dan sektor swasta,” katanya.

Keenam, mengenai dakwaan bahawa pengguna tidak diberikan pilihan untuk menarik diri (opt-out),

Zurkarnain menjelaskan bahawa data ini sememangnya diperlukan untuk operasi asas rangkaian. Setiap kali peranti mudah alih digunakan, ia akan berinteraksi secara automatik dengan menara pemancar terdekat.

Oleh itu, tiada mekanisme pilihan masuk atau keluar (opt-in/opt-out) disediakan kerana data ini sememangnya sebahagian daripada operasi rangkaian yang asas.

SKMM sekali lagi menegaskan bahawa data yang diperoleh daripada MNO adalah berbentuk statistik agregat sahaja, tanpa sebarang maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti pengguna secara individu.

Kesimpulannya, SKMM menegaskan MPD tidak mengandungi, tidak mendedahkan, dan tidak menggambarkan sebarang maklumat peribadi atau maklumat pemanggil yang boleh dikenal pasti oleh mana-mana pihak.– SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat