Anwar akan hadiri Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 Nov ini di Riyadh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November 2024 di Riyadh, Arab Saudi.

“Saya telah menerima jemputan daripada Raja Arab Saudi,Raja Salman Abdulaziz Al Saud untuk menghadiri satu Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November 2024 di Riyadh, Arab Saudi,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia akan mengusulkan ke Persidangan Kemuncak Negara- Negara Arab dan Islam agar sokongan sepenuhnya diberikan
kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East – UNRWA) dalam melaksanakan mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) dipertahankan dan diperkukuhkan.

“Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ini untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober 2024 lalu, yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.

“Salah satu pendekatan yang boleh diambil adalah bagi Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir, dan Qatar. Sejak Mei lepas, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” ujar beliau.

Menurut Anwar lagi, penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan.

“Seterusnya membincangkan pembangunan Pelan Tindakan dan mengenal pasti langkah-langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan Negara Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah dan jelas.

“Sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keadilan dan perundangan antarabangsa, Malaysia komited dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, menerusi dialog, kerjasama, dan penyelesaian yang adil.

“Malaysia berpandangan pendekatan ini adalah penting ke arah mencapai kestabilan dan keamanan kekal di Timur Tengah,” kata Anwar lagi.

Jelas Perdana Menteri, selama 75 tahun UNRWA merupakan tali hayat utama penyaluran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin.

“There is no alternative to UNRWA, adalah kenyataan daripada 15 ketua agensi PBB dan organisasi kemanusiaan. Peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia.’

“Di mana sejumlah USD 1 juta telah disumbangkan kepada UNRWA bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025, iaitu sebanyak USD 200,000 setiap tahun.

“Berikutan konflik yang memuncak sejak Oktober 2023, Malaysia juga telah menyumbang bantuan kewangan tambahan berjumlah USD 5.2 juta kepada UNRWA untuk meringankan beban dan membantu mangsa-mangsa kekejaman Israel.

“Walau bagaimanapun, kedudukan kewangan UNRWA masih berada dalam keadaan defisit sebanyak USD 80 juta,” katanya.

Anwar berkata, sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini yang telah dizahirkan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79 yang lalu.

“Beliau turut memohon agar Malaysia membantu agensi tersebut meraih sokongan Negara-Negara Sepemikiran mempertahankan dan memperkasakan mandat dan kebolehupayaannya untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat Palestin.

“Oleh yang demikian, kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat Dewan ini, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin; pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT); serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan; dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat