KUALA LUMPUR – Malaysia akan bertegas memastikan rancangan penjualan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) tidak melibatkan syarikat yang terkait penjualan kelengkapan ketenteraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan,tidak ada penjualan kelengkapan tentera mahupun kelengkapan ketenteraan yang boleh berlaku tanpa izin negara.
Ini susulan pengumuman bahawa GIP dipunyai oleh BlackRock yang menguasai saham LockHead Martin iaitu syarikat pembekalan senjata terbesar kepada Israel.
Menurut Anwar, beliau menyedari risiko-risiko yang bakal dihadapi Malaysia sekiranya melaksanakan penjualan saham MAHB itu namun beliau akan mengadakan rundingan tegas kerana adalah menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk menjaga bukan saja keamanan tetapi juga kepentingan rakyat dan negara ini.
“Ada yang mencadangkan tentang kedudukan kita (Malaysia) dalam hal syarikat-syarikat. Pendirian Malaysia tegas tak banyak di negara di dunia ini mengambil keputusan seperti Malaysia lakukan.
“Jangan nak menggesa kita buat lebih daripada itu kerana semasa rakan-rakan seperti Sik tahu mereka dalam pemerintahan mereka (Perikatan Nasional) tidak lakukan begitu malah mereka mengizinkan Zim Integrated Shipping Services (ZIM) berlabuh, kita tidak mengizinkan. Jadi kita ambil langkah lebih daripada itu.
“Cuma sekarang ini ada bangkitkan soal syarikat-syarikat, puluhan malah ratusan syarikat yang ada kerjasama dagangan dengan Israel yang berdagang dengan semua negara termasuk Malaysia dan di semua negeri termasuk negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang, jadi kita kena ambil keputusan yang konsisten apakah keputusan kita ini melibatkan bantahan terhadap negara.
“… kerana penjualan itu dengan izin negara. Tidak ada penjualan kelengkapan tentera, kelengkapan ketenteraan yang boleh berlaku tanpa izin negara, baik ini yang kita buat, setakat yang kita lakukan saya harap YB faham. Saya juga bertanggungjawab untuk menjaga bukan saja keamanan tapi kepentingan rakyat dan negara ini.
“Janganlah kita, kalau kita cadang ia bukan satu syarikat, saya nak sebut kalau nak jadikan satu hujah kita boleh sediakan ruang di Parlimen berapa puluhan syarikat-syarikat bertapak di semua negeri di Malaysia ini yang punyai kaitan secara langsung atau tidak langsung, termasuk sama ada kelengkapan atau parts, atau saham, senjata dan syarikat yang ada kepentingan dengan Israel,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang berbahas dalam sesi penerangan menteri berhubung Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam berkenaan isu Palestin, di Dewan Rakyat.
Kata Perdana Menteri lagi, Malaysia tidak boleh melaksanakan tindakan yang retorik membabitkan isu kekejaman Israel ke atas Palestin, semata-mata hanya untuk menarik perhatian orang ramai.
Ujar beliau, sebarang pendirian yang diambil Malaysia perlu konsisten.
“Jadi keputusan itu harus keputusan yang tidak hanya retorik untuk menarik perhatian orang ramai kerana dari segi ketegasan…Astagfirullahalazim bukan nak takbur, saya telah mengambil langkah yang melampaui kesanggupan banyak negara-negara.
“Ramai rakan negara-negara yang mengingatkan saya tentang risiko ini. Pagi tadi yang saya berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tentang kenyataan-kenyataan kita dan hal bagaimana menangani supaya Malaysia ini tidak terjejas.
“Kalau saudara baca buku-buku mutakhir tentang peranan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), berapa pemerintahan yang mereka gulingkan kerana pendirian yang tegas yang mereka anggap bertentangan dengan sikap dan pendirian mereka… ini risiko-risiko yang saya fikirkan, saya tidak ketepikan, tapi yang saya mohon dalam hal ini kerana ada kesepakatan.
“Kita bawa mesej ini dulu dan kita lihat beberapa kekuatan, kita runding dengan tegas.
“Kehadiran kita di BRICS, jadi strategi kita lebih baik dalam membina kekuatan dalaman dan kekuatan bersama dengan negara-negara sama ada Arab atau Islam atau negara Selatan yang punya kekuatan bagi saya itu lebih realistik,” kata Anwar.
Tambah Anwar lagi, melihat kepada permasalahan dunia yang rencam dan rumit yang ada sekarang beliau faham tekanan yang diberikan.
“Saya tidak memperkecil mungkin daripada hasrat yang sungguh-sungguh kerana kita rasa resah dan sedih dengan apa yang berlaku setiap hari belum pernah berlaku dalam sejarah moden apa yang dilakukan ke atas orang Palestin.
“Makna kata orang yang biadab dan gila sahaja bagi saya, jangan sebut soal demokrasi, hak asasi yang mampu melihat dan mengizinkan dan memberi hujah mempertahankan kezaliman ini,” kata Anwar.