KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menasihatkan mangsa-mangsa banjir supaya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi-agensi penguat kuasa lain bagi mengurangkan risiko kecelakaan akibat bencana.
Tegas Zahid, beliau bagi pihak Nadma dan agensi-agensi penguatkuasaan lain telah memobilisasikan seluruh jentera yang ada di setiap peringkat untuk menempatkan segera mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa tercicir.
“Kini berlaku musim Monsun Timur Laut (MTL) di mana beberapa kali saya nyatakan bahawa perubahan iklim telah menyebabkan MTL ini berlaku lebih awal dari waktu yang dijangkakan iaitu pada akhir bulan Oktober ataupun pada awal bulan November.
“Saya bagi pihak Nadma dan rakan-rakan agensi penguatkuasaan yang lain telah memobilisasikan seluruh jentera yang ada. Sama ada di peringkat negeri atau daerah apatah lagi diperingkat pusat untuk pergi ke kawasan-kawasan banjir khususunya bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan PPS dan saya telah mengkoordinasikan aktiviti-aktiviti ini sejak beberapa ketika yang lalu.
“Walaupun saya kini berada di Manila saya terus melakukan pemantauan secara dekat dengan semua pegawai yanag terlibat untuk menentukan bahawa tidak ada seorang pun mangsa yang tertinggal, yang tidak di santuni dan saya harap segala arahan yang dibuat oleh Nadma dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain dapat diikuti oleh mangsa-mangsa banjir,” kata Zahid di Manila pada Selasa.
Kejadian beberapa kawasan di sekitar ibu kota dinaiki air pagi Selasa adalah disebabkan taburan hujan yang sangat tinggi melebihi 60 milimeter (mm) per jam dan bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114 mm per jam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat yang mula turun sekitar 8.30 pagi dan berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekoran limpahan sungai–sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.